IPOH – Pembangkang berharap Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang akan berlangsung minggu depan memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat berikutan krisis tenaga global ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri berkata, isu kenaikan harga diesel serta kesannya terhadap rantaian ekonomi antara perkara utama yang akan dibangkitkan dalam persidangan itu.
Menurutnya, situasi ekonomi semasa yang semakin mencabar memerlukan tindakan segera kerajaan negeri bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos kehidupan.
"Isu kos sara hidup, harga barang dan kenaikan harga diesel yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat akan kita bahaskan.
"Keadaan ekonomi kini dilihat semakin kritikal, jadi kita mahu tahu apakah tindakan kerajaan negeri untuk membantu rakyat di Perak," katanya kepada Sinar Harian pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Manjoi di Meru Raya, di sini pada Ahad.
Hafez berkata, pihak pembangkang akan memainkan peranan sebagai semak dan imbang selain mengemukakan cadangan penambahbaikan serta solusi bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Menurutnya, pendekatan politik matang dan sejahtera perlu diamalkan dengan mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan rakyat.
"Waktu ini bukan waktu untuk kita berbalah bergaduh kerana rakyat tak nak tengok. Rakyat nak tengok ketika ini kita pemimpin kena bersatu dan tak kisah pembangkang dan kerajaan kena bergandingan cari jalan macam mana nak bantu rakyat.
"Itulah politik solusi, politik matang dan sejahtera yang akan kita bawa di Sidang DUN insya-ALLAH," katanya yang juga Ketua Pemuda Pas Perak.
Dalam pada itu, Hafez berkata, isu-isu rakyat di kawasan DUN Manjoi akan terus dibawa ke peringkat negeri sekiranya tidak dapat diselesaikan di peringkat tempatan.
Katanya, sepanjang empat tahun menjadi wakil rakyat, pelbagai isu melibatkan infrastruktur, kebajikan dan kemudahan asas berjaya diselesaikan hasil suara yang dibawa ke persidangan DUN.
Terdahulu, beliau memaklumkan majlis rumah terbuka yang dianjurkan itu dijangka menerima kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Sidang DUN Perak dijadual berlangsung pada 14 hingga 21 April ini dengan perasmian pembukaan akan disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
