Pembangkang kekal berprinsip, bukan 'keluar sekejap' - Mohd Syahir

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 12:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hantaran dibuat Mohd Syahir (kanan) pada Khamis.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mempertahankan bahawa pembangkang masa kini kekal konsisten dengan pendekatan politik matang dan berprinsip tanpa mengamalkan budaya agresif, hasutan atau fitnah.

Menurutnya, pembangkang memilih untuk mengambil peranan menerang, ‘mencerdikkan’ serta mencerahkan rakyat, selari dengan konsep politik matang dan sejahtera yang mengutamakan penyelesaian serta kepentingan rakyat.

"Ya, pembangkang hari ini tidak agresif, tidak menghasut, tidak memfitnah. Pembangkang hari ini ambil posisi menerang, ‘mencerdik’ dan mencerah.

"Politik matang dan sejahtera. Politik solusi, berkepentingan rakyat," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Mohd Syahir membuat kenyataan terbabit susulan hantaran dibuat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sebelum ini mengkritik pembangkang.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Khairy Jamaluddin didakwa mengkritik pembangkang apabila tidak memanfaatkan pelbagai isu seperti ketidakstabilan global, krisis tenaga serta skandal rasuah.

Mohd Syahir menegaskan bahawa pembangkang kekal teguh dengan prinsip perjuangan dan tidak bersifat bermusim.

"Kami kalau lawan, lawan terus. Bukan lawan sekejap. Bukan keluar sekejap. Berprinsip, bermaruah," ujarnya lagi.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin menerusi satu hantaran dipercayai di media sosial menulis dalam bahasa Inggeris: "And we really do have a most USELESS Opposition right now. Global instability, energy crisis, corruption scandal. The stage is set for you to shine.

Tambahnya lagi: "But you're just too stupid and incompetent. Hoping to win by default is not a strategy that inspires confidence. Kata aeronautical engineer, but you literally have no opinion on ANYTHING substantial. Amatuer hour on both sides of the political divide."