Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha 

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 12:52 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha 

KUALA LUMPUR: Tindakan ahli Parlimen dari pembangkang yang keluar beramai-ramai ketika Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) adalah amat mengecewakan.

Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan kerana pembangkang sebelum ini dilihat lantang memperjuangkan isu berkaitan kepentingan umat Islam.

Menurutnya, sidang khas berkenaan sepatutnya menjadi ruang kepada semua ahli Parlimen untuk meneliti, mempersoalkan, mencabar dan menyanggah dapatan RCI berdasarkan fakta.

“Selama ini mereka bercakap seolah-olah merekalah jaguh yang paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam.

“Hari ini, apabila pintu Parlimen dibuka untuk mereka bertanya, mencabar, menyanggah dan membahaskan setiap dapatan RCI, mereka memilih untuk keluar,” katanya dalam kenyataan. 

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) itu berkata, sekiranya terdapat dapatan RCI yang tidak dipersetujui pembangkang, perkara itu seharusnya dibangkitkan menerusi perbahasan di Dewan Rakyat.

“Kalau ada dapatan RCI yang mereka tidak setuju, bangun dan lawan dengan fakta. Kalau ada keputusan kerajaan yang mereka mahu persoalkan, tanyakan dalam Dewan.

“Kalau ada pihak yang mereka percaya perlu dipertahankan, pertahankan dengan hujah,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan pendirian pembangkang yang sering bercakap mengenai ketelusan, amanah, Islam dan kepentingan umat di luar Dewan tetapi memilih untuk keluar apabila diberikan ruang berdepan dengan dapatan laporan berkenaan.

“Jadi saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu Tabung Haji ini dibahaskan?” katanya.

Katanya, tindakan keluar beramai-ramai itu lebih mengecewakan kerana perbahasan berkenaan menyentuh isu pengurusan dan amanah wang pendeposit TH.

“Ini bukan isu kecil dan bukan ruang untuk melakukan political stunt,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya pembangkang benar-benar serius mempertahankan kepentingan umat Islam, mereka sepatutnya kekal berada dalam Dewan, meneliti laporan berkenaan dan membahaskan setiap perkara yang dipertikaikan.

“Apabila mereka sendiri memilih untuk keluar, rakyat tentu berhak bertanya, apa sebenarnya yang pembangkang mahukan?” katanya.-UTUSAN

The post Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved