Pembangunan AI diiringi agenda bakat, lindungi hak cipta pengkarya

LocalTechnology
29 Oct 2026 • 1:13 PM MYT
Twentytwo13
Twentytwo13

Twentytwo13 brings you insights on issues that matter to the people.

Pembangunan AI diiringi agenda bakat, lindungi hak cipta pengkarya

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan pembangunan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di negara ini dilaksanakan secara selamat, beretika serta bertanggungjawab melalui kewujudan kerangka tadbir urus yang jelas.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, langkah itu penting bagi mengurus risiko teknologi berkenaan tanpa menjejaskan peluang rakyat dan pemain industri untuk memanfaatkan potensinya.

Mengenai kawalan statutori khusus seperti yang dilaksanakan di Kesatuan Eropah (EU), beliau menjelaskan bahawa pembangunan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus AI kini sedang giat dilaksanakan.

“Pendekatan yang diambil berasaskan risiko dan berkadar, dengan tumpuan kepada keselamatan, akauntabiliti serta pemudahcaraan penggunaan AI.

“Pendekatan berasaskan risiko ini membolehkan perhatian diberikan kepada tahap risiko penggunaan AI dan kesannya terhadap rakyat. Kawalan yang bersesuaian perlu menyokong perlindungan kepentingan awam, manakala ruang untuk pembangunan teknologi dan inovasi terus dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan teks penggulungan Peringkat Dasar Perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu antara mekanisme yang diperkenalkan menerusi RUU berkenaan termasuklah AI Sandbox iaitu persekitaran pengujian terkawal, serta mekanisme pelaporan insiden AI.

Jelasnya, persekitaran pengujian terkawal memberi ruang untuk meneliti penggunaan AI sebelum diperluas, manakala pelaporan insiden membantu memberikan maklumat tentang masalah dan risiko yang timbul bagi menyokong pengurusan keselamatan teknologi itu.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sepanjang proses penggubalan RUU berkenaan, penggunaan AI tetap tertakluk kepada undang-undang sedia ada mengikut skop pemakaian masing-masing.

Antaranya Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854], Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709], Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] dan Akta Hak Cipta 1987 [Akta 332].

“Pelaksanaan undang-undang tersebut melibatkan pihak berkuasa mengikut bidang kuasa masing-masing, termasuk Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Agensi Keselamatan Siber Negara.

“Penggubalan RUU Tadbir Urus AI melengkapi kerangka sedia ada dalam menangani keperluan tadbir urus teknologi AI,” ujarnya.

Dari sudut pengukuhan institusi, beliau memaklumkan bahawa AI Malaysia Berhad telah rasmi dilancarkan pada 28 Julai lalu, yang turut menempatkan Malaysia AI Safety Institute (MY-AISafe) bagi menyokong penilaian risiko dan piawaian keselamatan AI.

Mengenai perlindungan hak cipta pengkarya industri kreatif, perkara itu sedang diteliti secara khusus oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menerusi cadangan pindaan Akta Hak Cipta 1987.

“Dalam konteks penggunaan AI, kepakaran dan pertimbangan manusia perlu terus diberikan perhatian. Peningkatan penggunaan teknologi mesti disertai kefahaman tentang tanggungjawab penggunaannya serta kesannya terhadap pekerjaan dan hasil karya.

“Kebimbangan terhadap peluang pekerjaan golongan muda turut memerlukan tindakan dari sudut peningkatan kemahiran dan latihan semula. Oleh itu, pembangunan tadbir urus AI dilaksanakan seiring dengan agenda pembangunan bakat supaya tenaga kerja tempatan mempunyai ruang untuk menyesuaikan diri,” katanya.

Menyentuh mengenai ancaman teknikal, Kerajaan turut menyedari risiko AI berautonomi termasuk tindakan sistem yang tidak selaras dengan arahan manusia (agentic misalignment) dan mengelak daripada dimatikan (shutdown avoidance) sepertimana dilaporkan oleh Anthropic. Bagi menangani risiko ini, MY-AISafe berperanan membangunkan keupayaan teknikal negara dalam penilaian keselamatan, pengujian dan jaminan keselamatan AI.

Tegas beliau, RUU Tadbir Urus AI juga memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan akauntabiliti bagi menangani risiko penyalahgunaan akaun, penyamaran identiti dan penyebaran maklumat palsu berskala besar yang sukar dikesan.

“Bagi menangani jurang akauntabiliti, RUU Tadbir Urus AI dirangka untuk memperjelas tanggungjawab pihak-pihak yang terlibat berdasarkan peranan dan tahap kawalan masing-masing sepanjang kitaran hayat sistem AI.

“Pada masa yang sama, pembangunan Kod Etika AI dan Platform MY-AI Standards bertujuan memperluas akses kepada panduan etika dan piawaian berkaitan AI bagi memperkukuh literasi serta keupayaan pelbagai pihak,” katanya.

Tambah beliau, usaha tersebut berteraskan prinsip ketelusan, keselamatan, keadilan dan akauntabiliti sebagaimana digariskan dalam Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika AI Kebangsaan serta Asean Guide on AI Governance and Ethics yang menjadi asas kerangka rujukan antarabangsa.

Beliau menambah, kedaulatan data dan maklumat strategik negara akan terus dipelihara, manakala perancangan Sovereign AI Cloud serta kawalan data dalam persekitaran awan Kerajaan akan dijelaskan secara khusus di bawah tema kedaulatan data.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved