‘Pembangunan di Sayat-Sayat perlu digantung sementara’

LocalEnvironment
12 Nov 2026 • 10:22 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

‘Pembangunan di Sayat-Sayat perlu digantung sementara’

RANAU: Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Kundasang mahu segala pembangunan yang sedang dilaksanakan di Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu digantung sementara sehingga status kelulusan setiap komponen projek didedahkan dan disahkan.

Pengerusinya Datuk Japiril Suhaimin berkata penilaian keselamatan geologi serta keperluan penilaian alam sekitar yang berkaitan juga perlu diperjelaskan.

Beliau berkata surat bantahan dan permohonan mendapatkan maklumat akan dikemukakan kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Menteri yang bertanggungjawab terhadap pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar serta Ketua Menteri.

“Kami mahu tuntutan ini diberikan perhatian serius oleh Kerajaan dan pihak pengurusan Taman-Taman Sabah,” katanya.

Japiril berkata persatuan itu juga akan menganjurkan sesi dialog awam membabitkan komuniti dari Kundasang, Bundu Tuhan, Ranau, Kiau dan Kadamaian bagi mendapatkan pandangan mereka serta merekodkan pendirian secara rasmi.

Golongan malim gunung, porter, pemimpin adat, pengusaha pelancongan dan penduduk setempat akan turut terbabit.

“Kami mahu komuniti tempatan diberikan peranan sewajarnya dalam setiap peringkat perancangan dan pelaksanaan pembangunan ekonomi di kawasan warisan mereka sendiri,” katanya.

Persatuan itu juga akan mempertimbangkan untuk membawa perkara berkenaan kepada Pusat Warisan Dunia Unesco melalui saluran yang bersesuaian.

Japiril berkata, permintaan persatuan itu untuk mendapatkan penjelasan bukan hanya tertumpu kepada perbezaan antara Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) dengan pembangunan kemudahan penginapan di kedua-dua lokasi berkenaan.

Persatuan itu mahu dokumen kelulusan, skop setiap komponen serta kaedah pelaksanaannya didedahkan kepada umum supaya hubungan antara kedua-duanya dapat difahami dengan jelas.

“Kami mahu mengetahui dengan jelas perkara sebenar yang diliputi oleh kelulusan HATC, status kelulusan pembangunan penginapan di Sayat-Sayat dan Gurkha Hut serta bagaimana kedua-duanya saling berkaitan dari segi perancangan, operasi atau pentadbiran,” katanya.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai pihak pengendali sebenar yang akan menguruskan pakej pelancongan, jumlah pekerja tempatan yang akan diambil bekerja serta jumlah hasil yang akan disalurkan kepada usaha pemuliharaan.

“Jika projek ini benar-benar dilaksanakan untuk manfaat rakyat, pihak terbabit perlu membuktikannya melalui mekanisme yang telus, peluang pekerjaan yang jelas, penyertaan pengusaha tempatan serta komitmen bertulis,” katanya.

Beliau berkata malim gunung dan porter sepatutnya menerima manfaat ekonomi yang adil serta peluang untuk terlibat dalam operasi berkenaan, mengambil kira pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai gunung itu.

Sebagai alternatif kepada peluasan kemudahan penginapan komersial di kawasan sensitif, Japiril mencadangkan supaya kemudahan sedia ada di Laban Rata dinaik taraf selain memperkukuh pelancongan berasaskan komuniti di kawasan kaki gunung.

Penambahbaikan di Laban Rata perlu mengutamakan aspek keselamatan, kebersihan, kemudahan asas dan pengurusan sisa.

Inisiatif komuniti pula boleh merangkumi inap desa berasaskan budaya, laluan herba tradisional, penceritaan warisan Aki Nabalu, latihan kepada golongan muda sebagai malim gunung, peluang kepada wanita untuk bekerja sebagai porter serta penghasilan kraftangan tempatan.

Beliau turut mencadangkan supaya kuota pendakian ditentukan berdasarkan keupayaan tampungan ekologi, keupayaan pengurusan dan aspek keselamatan bukannya kapasiti penginapan semata-mata.

“Kami percaya pelancongan berkualiti diukur berdasarkan pemuliharaan alam sekitar, kualiti pengalaman pengunjung serta sejauh mana komuniti tempatan mendapat manfaat dari segi ekonomi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved