Pembangunan Fizikal Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik & Cybernics Kebangsaan PERKESO Capai 63.05%

5 Aug 2024 • 10:22 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Pembangunan Fizikal Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik & Cybernics Kebangsaan PERKESO Capai 63.05%

IPOH – Prestasi pembangunan fizikal Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO setakat 2 Ogos telah mencapai kemajuan 63.05 peratus.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, memaklumkan pembangunan 11 blok utama dengan fungsi berintegrasi dengan perkhidmatan Neuro-Robotik dan Cybernics, rawatan rehabilitasi konvensional dan perubatan tradisional kini telah memasuki fasa pembinaan pesat dengan tarikh jangkaan pembangunan siap sepenuhnya menjelang 1 Mei tahun 2025.

“Pusat Rehabilitasi ini dilengkapi teknologi robotik terkini, termasuk rawatan neuro robotik dan Cybernics dari Jepun, malah kemudahan serta perkhidmatan akan tertumpu kepada rehabilitasi perubatan dan vokasional yang holistik, berdasarkan konsep rehabilitasi sepanjang hayat (whole life-cycle rehabilitation concept),” katanya.

Terdahulu, Steven Sim mengadakan lawatan kerja rasmi ke tapak pembinaan Pusat Rehabilitasi milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terbesar di Asia Tenggara di Bandar Meru Raya, Ipoh bagi meninjau kemajuan kerja-kerja pembinaan dan perkembangan pembangunan projek tersebut.

image is not available

Steven Sim turut menguar-uarkan peluang kepada orang ramai untuk mengisi 400 kekosongan jawatan bagi Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan PERKESO dengan memohon jawatan yang diinginkan menerusi portal pekerjaan nasional MYFutureJobs (https://myfuturejobs.gov.my/).

image is not available

Selain itu, boleh hadir ke Program Karnival Kerjaya MYFutureJobs X KESUMA Career Quest yang bakal berlangsung selama dua hari, mulai esok pada 3 dan 4 Ogos 2024 di Casuarina Convention Centre, di Hotel Casuarina @ Meru, Ipoh Perak.

View Original Article