
KUALA LUMPUR - Pembangunan Kertas Putih Kesihatan bertepatan pada masanya, bagi merealisasikan sistem kesihatan Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran tahun-tahun mendatang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau berkata, cabaran kesihatan yang diharungi sebelum ini dan apa yang dijangkakan pada masa hadapan patut dijadikan sandaran untuk menambah baik dan memperkukuhkan sistem kesihatan sedia ada. Menurutnya selepas lebih dua tahun seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19, satu perancangan komprehensif dan menyeluruh perlu dibentuk supaya kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal utuh pada masa hadapan. "Seperti mana semua maklum, sistem kesihatan negara kita, sama ada kerajaan mahupun swasta, telah berfungsi dengan cemerlang sehingga sebahagian besar Keluarga Malaysia menikmati tahap kesihatan yang baik terutama ketika kes pandemik Covid-19 memuncak. "Namun begitu, kita tidak seharusnya mudah berasa selesa kerana pandemik Covid-19 bukanlah yang terakhir, kerana terdapat pelbagai cabaran baharu bakal muncul, seterusnya akan menguji tahap keberkesanan dan ketahanan asas sistem kesihatan sedia ada," katanya semasa berucap merasmikan Sidang Kemuncak Dasar Kesihatan 2022: Masa Hadapan Perkhidmatan Kesihatan Melalui Pembangunan Kertas Putih Kesihatan di sini, pada Isnin. Perdana Menteri berkata pandemik Covid-19 memperlihatkan cabaran serius kesihatan pada tahun-tahun mendatang, termasuk isu penuaan penduduk yang memberi cabaran besar kepada sistem kesihatan dan sosial negara. Katanya Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang 2030 apabila meningkatnya rakyat berumur 60 tahun ke atas iaitu lebih 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kadar prevalen penyakit, dan permintaan penjagaan kesihatan golongan itu dianggarkan dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang dewasa yang lebih muda. Selain itu, kadar penyakit tidak berjangkit juga meningkat apabila seorang daripada lima orang dewasa di negara ini menghidap penyakit kencing manis dan seorang daripada tiga orang dewasa mengalami penyakit darah tinggi. "Berdasarkan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, angka-angka ini sangat membimbangkan kerana kebanyakannya tidak sedar mereka menghidapinya dan seterusnya mengundang risiko kematian. Contohnya, 87 peratus pesakit COVID-19 yang maut merupakan mereka yang menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis atau darah tinggi. "Selain itu, masalah kesihatan mental juga semakin meningkat apabila 2.3 peratus golongan dewasa mengalami kemurungan dan 7.9 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun berdepan masalah kesihatan mental, angka ini dijangka meningkat," katanya. - Bernama AKAN MENYUSUL
