
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setiap usaha pembangunan perlu dilaksanakan secara saksama agar hasil kemajuan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa ada kelompok yang tercicir.
Beliau berkata pembangunan negara tidak wajar diukur semata-mata berdasarkan pencapaian fizikal dengan bangunan tinggi, kemajuan infrastruktur serta kemodenan prasarana, sebaliknya perlu menyentuh kehidupan serta kebajikan rakyat.
“Setiap langkah ke hadapan berpaksikan keadilan dan keperluan masyarakat.
“Segala usaha pembangunan mesti memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus kemakmuran, agar hasil kemajuan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook bersempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.
Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Perdana Menteri berkata semangat ihsan, saling menghormati dan kebersamaan yang menjadi teras Kerajaan Madani akan terus diperkukuh demi menjamin keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan.
“Selamat menyambut Ulang Tahun Wilayah Persekutuan kepada seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya. - 1 Februari, 2026
The post Pembangunan mesti saksama, tiada rakyat tercicir: Anwar appeared first on Scoop.

