Pembangunan pesat Putatan, Papar tingkat permintaan air: Penduduk gesa penyelesaian jangka panjang

28 Jul 2026 • 5:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pembangunan pesat Putatan, Papar tingkat permintaan air: Penduduk gesa penyelesaian jangka panjang

PUTATAN: Penghuni Kondominium Kingfisher Putatan berharap kerajaan mengambil langkah lebih menyeluruh dalam merancang pembangunan di daerah Putatan bagi memastikan masalah bekalan air yang membelenggu penduduk serta kawasan sekitar sejak beberapa tahun lalu tidak terus berulang.

Mereka mendakwa pembangunan pesat kawasan Putatan hingga Papar termasuk pembinaan kondominium dan perumahan baharu telah meningkatkan permintaan terhadap bekalan air sehingga menjejaskan ribuan penduduk yang mendiami kawasan berkenaan.

Salah seorang penghuni, Sarjit Ramday, 76, berkata masalah bekalan air tidak pernah selesai sejak beliau berpindah ke kondominium itu dua tahun lalu ma lah semakin kritikal sehingga ada penduduk terpaksa menginap di hotel atau menumpang di rumah ahli keluarga apabila bekalan air terputus.

“Penduduk pada awalnya dimaklumkan masalah berkenaan akan selesai selepas projek Loji Air Kasigui yang dikhabarkan siap pada tahun 2024 lalu dan Loji Air Kogopon II November tahun ini namun bimbang gangguan sama akan berulang sekiranya pembangunan baharu terus diluluskan tanpa mengambil kira kapasiti bekalan air.

“Saya khuatir walaupun kedua-dua loji itu siap, masalah air akan berulang kerana pembangunan di Putatan hingga Papar berlaku terlalu rancak tanpa perancangan bandar yang teratur oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui di perjumpaan penghuni kondominium dengan Pejabat Daerah Putatan, Jabatan Air Negeri Sabah, Jabatan Kerja Raya, pengurusan kondominium dan wakil rakyat Petagas, Datuk Awang Ahmad Sahari baru-baru ini.

Seorang lagi penghuni Amyrul Nashrin, 36, turut berkongsi pendapat sama dan memberitahu masalah awal bermula pada tahun 2022 lalu namun menjadi lebih serius apabila kadar penghunian kondominium meningkat pada tahun 2024.

Bagaimanapun katanya situasi ganggunan bekalan air itu semakin kritikal pada tahun 2025 lepas dan pada bulan April serta Mei tahun ini hingga menjejaskan kehidupan dan aktiviti harian penghuni.

“Isu ketiadaan bekalan air ni sebenarnya bermula dari tahun 2020 lalu cuma tidak sekritikal tahun ini dan tahun lepas. Begitu juga pada tahun 2022-2023 lepas juga masalah ini masih rendah.

“Namun mulai tahun 2024 hingga sekarang ekoran pertambahan penghuninya, masalah ini semakin serius khususnya pada bulan April dan Mei, baru-baru ini,” katanya yang tinggal di kondominium itu sejak tahun 2020 lalu.

Amyrul berkata, penduduk bukan saja berdepan gangguan bekalan air malah terpaksa membeli air yang dibekalkan pihak swasta pada kadar RM7.50 bagi setiap meter padu berbanding tarif biasa RM1.30.

Beliau turut mendakwa air yang dihantar menggunakan lori tangki kurang memuaskan kerana mengandungi pasir dan mendapan sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebersihannya serta menyebabkan kerosakan peralatan rumah.

“Perbelanjaan kami juga bertambah kerana terpaksa membeli air mineral untuk minum dan masak malah ada penghuni yang terpaksa tinggal di hotel atau pulang ke rumah keluarga kerana bekalan air tidak mencukupi,” tambahnya.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Petagas Datuk Awang Ahmad Sahari berkata isu terbabit sudah dibangkitkannya semasa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah baru-baru ini sebelum pihaknya berunding dengan pelbagai agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian segera.

“Alhamdulillah berdasarkan laporan yang saya terima, keadaan bekalan air di kawasan perumahan ini sejak seminggu lalu semakin baik selepas pertemuan saya dengan Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmy Yahya.

“Saya difahamkan pelarasan injap paip air telah dilakukan bagi meningkatkan aliran air ke kawasan perumahan ini. Bagaimanapun ia hanya penyelesaian jangka pendek kerana jika lebih banyak air disalurkan ke kawasan ini, kawasan lain mungkin kekurangan menerima bekalan,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian jangka panjang dijangka diperoleh apabila Loji Air Kogopon II di Papar mula beroperasi pada November ini, selain kerja menaik taraf Loji Air Kasigui yang bakal meningkatkan kapasiti bekalan air ke kawasan Putatan dan sekitarnya.

Sehubungan itu beliau akan mengadakan perbincangan bersama wakil rakyat di kawasan berkenaan  termasuk Ahli Parlimen Putatan serta agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Putatan bagi merangka perancangan bandar yang lebih tersusun agar masalah sama tidak berulang di masa depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved