Selaras aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkukuh Ekonomi Desa Nasional, RISDA terus memperkasa pembangunan usahawan pekebun kecil bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat desa apabila sektor itu kini turut berkembang meliputi keusahawanan, agromakanan, pembuatan, kraftangan, perkhidmatan dan produk bernilai komersial.
Melalui pelbagai inisiatif seperti Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), Pensijilan Halal, MeSTI dan Groom Big, RISDA menyediakan sokongan merangkumi bantuan perniagaan, bimbingan teknikal, peningkatan kualiti produk, pelabelan, pembungkusan, pensijilan halal serta peluasan akses pasaran.
Inisiatif ini memberi peluang kepada pekebun kecil dan ahli isi rumah mereka membina sumber pendapatan tambahan yang lebih stabil dan berdaya saing.
Sehingga kini, RISDA membimbing lebih 17,000 usahawan pekebun kecil di seluruh negara.
Di Johor sahaja, seramai 1,624 usahawan dibimbing RISDA Negeri Johor, manakala 224 usahawan dibimbing RISDA Daerah Muar/Tangkak.
Bagi tahun 2026, RISDA menyasarkan pertambahan 900 usahawan bimbingan, dengan pencapaian semasa sebanyak 418 orang setakat ini.
Sebanyak RM5 juta disediakan bagi Program Pembangunan Usahawan RISDA pada tahun ini.
Daripada jumlah itu, RM260,000 disalurkan kepada RISDA Negeri Johor dengan sasaran 69 penerima manfaat, manakala RISDA Daerah Muar/Tangkak disediakan RM40,000 bagi menyokong dua penerima Program AET dan seorang penerima manfaat Pensijilan Halal.
Bagi melihat sendiri impak inisiatif ini di peringkat lapangan, Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib telah mengadakan lawatan ke beberapa premis usahawan pekebun kecil di sekitar Tangkak, Johor pada Khamis.
Lawatan itu mencerminkan pendekatan agensi yang dekat dengan komuniti pekebun kecil, selain memahami keperluan sebenar usahawan di lapangan.
Antara premis yang dilawati ialah R&Z D’Ledang Rabbit Farm, sebuah projek agromakanan yang memperlihatkan potensi penternakan sebagai sumber pendapatan tambahan komuniti desa.
Manndzri turut melawat Rinleed Batik, usahawan bimbingan RISDA dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) yang mengusahakan produk batik, sekali gus memperlihatkan pendekatan pembangunan usahawan yang inklusif.
Seterusnya, lawatan ke OZMY Sdn Bhd, sebuah perusahaan mikro dalam industri pembuatan umpan memancing tiruan, membuktikan bahawa usahawan bimbingan RISDA tidak hanya tertumpu kepada sektor pertanian atau makanan, malah turut berkembang dalam bidang pembuatan produk khusus yang mempunyai nilai komersial.
Secara keseluruhannya, lawatan ini membuktikan bahawa pembangunan pekebun kecil turut merangkumi pemerkasaan kemahiran, perniagaan dan daya saing ekonomi desa.
Melalui sokongan kerajaan, hala tuju KKDW dan peranan RISDA, komuniti pekebun kecil terus diperkasa ke arah sosioekonomi yang lebih makmur dan sejahtera.
