SUNGAI BESAR - Seorang pembantu perawatan kesihatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor babi yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Parit 8, Sri Gambut, di sini awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, mangsa yang berusia 36 tahun itu dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang lelaki itu melanggar haiwan berkenaan sebelum hilang kawalan dan terbabas di atas jalan.
"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 6.48 petang hari sama," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Md Yusof memberitahu, mangsa dipercayai berulang-alik ke tempat kerja setiap hari menggunakan laluan berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambah beliau.
