AMPANG JAYA - Seorang pembantu rumah warga asing yang sudah bekerja hampir tujuh tahun di negara ini ditahan selepas disyaki mencuri wang sebanyak RM50,000 milik majikan.
Kejadian bermula pada 14 September lalu apabila majikannya, seorang wanita berusia 37 tahun mengeluarkan wang tersebut daripada syarikat milik suami untuk dimasukkan ke akaun simpanan anak-anak mereka.
Bagaimanapun, wang itu yang disimpan dalam beg tangan sebelum diletakkan di stor di kediamannya dekat Pandan Prima di sini hilang sehari kemudian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisoner Mohamad Farouk Eshak, berkata mangsa tidak sempat memasukkan wang tersebut ke akaun milik anak-anaknya kerana sibuk menguruskan perpindahan mereka sekeluarga.
Susulan laporan berhubung kehilangan itu, beliau berkata, pihaknya menahan pembantu rumah keluarga terbabit yang berusia 58 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, jam 9 malam semalam.
“Pembantu rumah warga asing itu sudah bekerja dengan keluarga terbabit sejak tujuh tahun lalu namun tiada rampasan dibuat ketika tangkapan dilakukan.
“Suspek juga tidak melarikan diri sebaliknya masih bekerja dengan majikannya selepas kejadian tersebut,” katanya hari ini.
Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bekerja tanpa permit.
“Siasatan sedang diteruskan untuk mengesan wang tunai yang dilaporkan hilang itu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Seksyen 6(1)(C)Akta Imgresen 1959/63 iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah. - Getaran, 22 September 2022

