Pembatalan penjualan pelantar Naga 3 jejas pelan transformasi Velesto, BIMB Securities turun taraf saham kepada 'jual'

Business & Finance
15 Jul 2026 • 9:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembatalan penjualan pelantar Naga 3 jejas pelan transformasi Velesto, BIMB Securities turun taraf saham kepada 'jual' Image from: Pembatalan penjualan pelantar Naga 3 jejas pelan transformasi Velesto, BIMB Securities turun taraf saham kepada 'jual' hamden15/07/2026 - 09:49 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Julai - BIMB Securities menyifatkan kegagalan Velesto Energy Bhd memuktamadkan penjualan pelantar penggerudian jack-up Naga 3 pada harga AS$63 juta (RM257 juta) sebagai 'kerugian besar' kerana ia akan menangguhkan pelaksanaan strategi transformasi aset ringan syarikat itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kegagalan urus niaga tersebut secara efektif melambatkan usaha Velesto untuk mengurangkan pegangan dalam aset lama dan berkapasiti rendah sebelum memberi tumpuan kepada pelantar premium yang menawarkan pulangan lebih tinggi.

 

Menurut firma itu lagi, penamatan penjualan Naga 3 juga menimbulkan ketidaktentuan terhadap rancangan syarikat untuk meningkatkan pulangan kepada pemegang saham menerusi pembayaran dividen yang lebih tinggi.

 

Di bawah pelan pelupusan asal, sebanyak RM251.1 juta daripada hasil jualan dijangka digunakan bagi potensi agihan kepada pemegang saham, selain memenuhi keperluan tujuan korporat am dan modal kerja.

 

"Tanpa hasil daripada pelupusan tersebut, masa dan jumlah peningkatan dividen pada masa hadapan menjadi kurang pasti.

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan unjuran pendapatan buat masa ini kerana penamatan urus niaga itu tidak mengubah secara material andaian operasi kami," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Susulan perkembangan itu, BIMB Securities menurunkan penarafan Velesto kepada 'sell' daripada 'buy', selain mengurangkan harga sasaran (TP) kepada 24 sen daripada 32 sen.

 

Sentimen Pelabur

Firma penyelidikan itu berpandangan, walaupun asas operasi Velesto masih kekal kukuh, sentimen pelabur dijangka terjejas memandangkan sebahagian besar kenaikan harga saham syarikat sebelum ini didorong oleh keyakinan terhadap strategi pengkomersilan aset dan prospek dividen yang lebih menarik.

 

Menurut BIMB Securities, kenaikan lebih 70% harga saham Velesto sepanjang 12 bulan lalu banyak dipacu oleh jangkaan syarikat akan berjaya melaksanakan pelupusan aset serta mengembalikan lebihan tunai kepada pemegang saham.

 

"Dengan penjualan Naga 3 kini dibatalkan, pelabur mungkin akan mula menilai semula jangkaan tersebut.

 

"Pasaran berkemungkinan mempersoalkan keterlihatan pelupusan aset pada masa hadapan serta tempoh pemulangan modal kepada pemegang saham, sekali gus mengurangkan daya tarikan naratif penilaian semula saham itu sebelum ini.

 

"Sehubungan itu, kami percaya kekuatan harga saham kebelakangan ini berpotensi berbalik arah apabila pelabur mula melepaskan pegangan yang dibina berdasarkan naratif asal berkaitan strategi syarikat dan prospek dividen," katanya.

 

Velesto ketika ini dimiliki sebanyak 61.33% oleh empat pelabur institusi berkaitan kerajaan, terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (48.32%), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) (5.09%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (4.87%) dan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (3.05%). - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved