Pembatalan PN seperti kisah Qabil, Habil

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pembatalan PN seperti kisah Qabil, Habil

ALOR SETAR: Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) diibaratkan seperti kisah Qabil dan Habil yang menggambarkan bahaya persaingan apabila pihak lawan dianggap sebagai ancaman yang perlu dihapuskan.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, persaingan sepatutnya dihadapi secara matang dan bukannya dengan tindakan menyingkirkan pihak yang dianggap mencabar kedudukan tertentu.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kisah Qabil dan Habil menjadi peringatan bahawa perasaan dengki boleh mendorong seseorang bertindak sehingga menghapuskan pesaingnya.

“Dalam dunia politik pula, apabila pihak tertentu melihat pesaing sebagai ancaman kepada kedudukan, muncul tindakan membubarkan wadah yang dianggap mencabar mereka. Alasan boleh dicari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas keputusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu setelah pihaknya mengeluarkan notis pada 22 September lepas.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, perbandingan kisah berkenaan perlu difahami sebagai kiasan dan bukannya menyamakan kedua-dua peristiwa secara literal.

Beliau berkata, pembatalan sesebuah organisasi tidak semestinya menamatkan perjuangan yang dibawa, terutama apabila perjuangan itu berakar dalam keyakinan pendukungnya.

“Qabil mungkin berjaya menghapuskan Habil, tetapi dia tidak mampu menghapuskan kebenaran. Begitu juga, organisasi boleh dibatalkan, tetapi perjuangan yang berakar dalam keyakinan tidak semestinya mati bersamanya,” katanya.

Ahmad turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat akhirnya akan menentukan hala tuju politik negara melalui pilihan mereka, sambil menegaskan pendirian bahawa pilihan tersebut bukan Pakatan Harapan (PH) mahupun DAP.-UTUSAN

The post Pembatalan PN seperti kisah Qabil, Habil appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved