
Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 Mulai 12 Ogos 2025
PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) — Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Tiga mulai esok, melibatkan peruntukan RM2 bilion sebagai langkah Kerajaan MADANI meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.
Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata 8.6 juta penerima bakal mendapat bantuan hingga RM650 menerusi STR Fasa Tiga, menunjukkan peningkatan sebanyak 300,000 penerima berbanding 8.3 juta penerima Fasa Satu pada Januari lepas.
Beliau berkata peningkatan penerima STR itu hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.
“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI,” katanya.


Sumber: BERNAMA
The post Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 Mulai 12 Ogos 2025 appeared first on Siakap Keli.

