
JOHOR BAHRU - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Isnin diyakini akan menjadikan UMNO lebih baik seterusnya mampu menawan kembali hati orang Melayu.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata keputusan tersebut memberi satu kelegaan kepada pimpinan UMNO di setiap peringkat.
"Pemuda UMNO Johor mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membebaskan (namun tidak melepaskan) Presiden UMNO, daripada 47 pertuduhan sebelum ini
"Keputusan Pendakwa Raya untuk tidak meneruskan prosiding dengan mengemukakan 11 hujah dan alasan juga bagi Pemuda UMNO Johor jelas menunjukkan bahawa segala pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid sebelum ini adalah bersifat politik.
"Selain, terdapat cubaan salah guna badan kehakiman untuk menjatuhkan UMNO sebagai sebuah institusi," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Noor Azleen menambah keadilan akhirnya dibuktikan dengan jelas dan nyata selepas Ahmad Zahid menggunakan segala ruang serta platform undang-undang yang betul.
"Presiden UMNO telah memanfaatkan ruang serta platform yang betul melalui saluran undang-undang untuk membersihkan nama dan mengembalikan maruah beliau yang selama ini tercalar akibat pertuduhan yang dikenakan.
"Untuk itu, wibawa, imej serta kredibiliti UMNO yang diketuai Ahmad Zahid diharap akan menjadi lebih baik demi untuk memastikan UMNO dapat kembali menawan minda dan hati orang Melayu melalui segala usaha dan ikhtiar baiknya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid hadir prosiding 47 kes rasuah, pecah amanah, AMLA
