
KOTA BHARU: Pembekal dan peniaga mengambil inisiatif berkolaborasi menjadi pemain industri dalam sektor perniagaan bagi menjayakan Program Jualan Rahmah di setiap lokasi terlibat.
Pembekal barangan runcit, Mohd Hasrul Mohamad, 40, berkata bagi memudahkan pelanggan terutama penduduk kampung, peniaga membawa barangan menggunakan lori atau kenderaan ke lokasi jualan.
“Sejajar dengan harapan kerajaan yang mahu peniaga berganding bahu antara kami pada Program Jualan Rahmah, hari ini sebanyak 700 paket barangan dapur disediakan untuk jualan kepada penduduk di lokasi Pasir Tumboh, manakala peniaga lain membawa barangan mereka dengan diskaun.
“Antara barangan yang ada di dalam satu paket ialah minyak masak, gula, susu pekat, teh, mi segera, bihun dan milo dijual dengan harga RM30 sepaket berbanding harga biasa RM40,“ katanya ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah Daerah Kubang Kerian di Pasir Tumboh di sini hari ini.
Menurutnya, program itu dijalankan secara serentak di daerah-daerah seluruh negara bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari hari ini mengikut jadual.
Sementara itu, peniaga ayam, Ramon Affendi Osman, 43, berkata dia membawa 400 ekor ayam yang laris dijual dalam masa sejam sahaja.
“Pelanggan menyerbu kenderaan membawa ayam ini sejak 9 pagi memandangkan ayam dijual dengan harga diskaun RM7 sekilogram dan setiap pembeli dihadkan membeli dua ekor ayam sahaja.
“Selain itu, kami dalam kalangan peniaga di satu-satu lokasi bekerjasama antara satu sama lain dengan membuat promosi menawarkan barangan kepada pelanggan,“ katanya.
Bagi pelanggan, Sakiah Abdullah, 53, dari Pasir Tumboh berkata dia mengambil peluang membeli barangan harian semasa Program Jualan Rahmah yang dijalankan di lokasi berdekatan rumah.
“Banyak barangan dapur dapat penduduk beli dengan harga murah berbanding hari biasa, tambahan pula hari ini cuti hujung minggu,“ katanya. -Bernama
