Pembelaan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu selesai

LocalPolitics
16 Apr 2025 • 12:25 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Lagatah Toyos

TAWAU: Prosiding pembelaan kes bunuh membabitkan 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) di Mahkamah Tinggi Tawau ditutup pada Selasa selepas 18 saksi selesai memberi keterangan masing-masing.

Saksi-saksi terbabit terdiri daripada 13 tertuduh, seorang pengusaha gerai makanan, guru disiplin KLVD, ibu dan bapa kepada OKT5 dan pegawai penyiasat kes ASP Suddin Tjinke iaitu merupakan saksi pendakwaan ke-25 yang dipanggil semula untuk memberi keterangan oleh pasukan pembelaan.

Perbicaraan penuh berlangsung selama tujuh hari itu didengar di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol yang kemudiannya menetapkan tarikh 29 April depan untuk kedua belah pihak memfailkan hujahan; 6 Mei (berbalas hujahan) dan 14 Mei (memastikan hujahan difailkan).

Terdahulu, ASP Suddin yang muncul sebagai saksi terakhir (saksi ke-18) dipanggil pasukan pembelaan memberitahu mahkamah bahawa beliau tiada melihat atau diserahkan satu dokumen atau kenyataan dalam kertas A4 oleh 13 pelajar ketika sampai di KVLD pada hari kejadian.

Beliau juga memberitahu tidak ada dimaklumkan bahawa Cikgu Firdaus (guru disiplin) mengarahkan pelajar-pelajar tersebut menulis kenyataan dalam kertas A4 dan beliau tidak pernah merakam saksi tersebut.

Pegawai polis itu turut menjawab kesemua dokumen yang ada pada Inspektor Sofia (pegawai penyiasat 24 jam yang bertugas pada hari kejadian) sudah diserahkan kepada beliau dan tiada kepentingan kepada Inspektor Sofia untuk menyimpan dokumen (A4) tersebut.

Katanya, beliau juga baru mengetahui tentang kertas A4 yang didakwa diisi oleh 13 pelajar terbabit semasa perbicaraan pada Selasa.

ASP Suddin ditanya perkara itu semasa pemeriksaan utama oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki dan ketika pemeriksaan balas oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin dan Timbalan Pendakwaraya Nur Nisla Abdul Latif.

Sebelum itu, saksi pembelaan ke-16 iaitu Mohd Ferdaus Andres, 39, yang merupakan Penolong Penyelaras Disiplin KVLD sejak empat tahun lalu memberitahu mahkamah bahawa kertas A4 yang diberikan kepada pelajar terbabit bukanlah pengakuan tetapi keterangan awal kes.

Menurutnya, arahan pertama beliau adalah menyuruh pelajar yang dikumpulkan di Bilik Danum untuk menulis keterangan awal dan bukan pengakuan, ketika pemeriksaan utama oleh peguam Kamarudin.

Kamarudin: Apakah arahan yang kamu berikan kepada 13 pelajar setelah mereka berada di dalam Bilik Danum?

Mohd Ferdaus: Semasa saya sampai, saya pun tidak tahu mana satu suspek, mana satu saksi. Arahan pertama saya, siapa-siapa yang ada menyentuh arwah sama ada memukul, menumbuk, menampar atau sama waktu dengannya sila berdiri di hadapan saya.

Kamarudin: Adakah kamu berkomunikasi dengan 13 pelajar tersebut?

Mohd Ferdaus: Sebelum saya bagi A4, saya tiada berkomunikasi.

Kamarudin: Selepas bagi A4?

Mohd Ferdaus: Itulah arahan pertama saya, saya suruh mereka tulis, bukan pengakuan tapi keterangan awal.

Kamarudin: Adakah kamu memberikan mereka kertas A4 dan pen?

Mohd Ferdaus: Ya, betul.

Kamarudin: Untuk tujuan apa?

Mohd Ferdaus: Saya sendiri tidak tahu kejadian itu berlaku. Untuk rangka awal saya mengetahuinya, saya suruh mereka tulis apa yang mereka buat sebab mereka berdiri di hadapan saya adalah orang-orang yang ada melakukan sentuhan. Dan A4 itu pun saya bagi kepada saksi (empat lagi pelajar yang tidak maju berdiri di hadapannya).

Kamarudin: Adakah kamu mengarahkan mereka menulis perkara tertentu dalam kertas A4 tersebut?

Mohd Ferdaus: Saya suruh mereka tulis nama penuh, nombor IC, nama program dan juga kejadian itu berlaku.

Dalam pada itu, saksi tersebut juga memberitahu mahkamah bahawa pelajar terlibat diberikan peluang untuk membantah, menjelaskan atau menolak penyerahan kenyataan mereka kepada polis.

Kepada soalan pemeriksaan balas daripada peguam Mohamed Zairi, beliau menjawab setuju bahawa tiada paksaan untuk mereka (13 pelajar) menulis apa yang di dalam kertas A4 tersebut.

Untuk rekod, keterangan beberapa pelajar tersebut sebelum ini, memberitahu mahkamah bahawa mereka dipaksa menulis pengakuan memukul mangsa sehingga mengakibatkan kematian oleh Cikgu Firdaus, dan pengakuan itu dibuat tanpa kerelaan.

Kesemua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh membunuh pelajar Bioteknologi, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) di antara jam 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi pada 22 Mac 2024.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif dengan dibantu TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye iaitu tertuduh (OKT) pertama, ketiga, keempat, kelapan, 10, 11, 12 dan 13.

Sementara itu, lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika (OKT 5), Vivian Thien (OKT 6), Jhesseny P. Kang (OKT 7), Kusni Ambotuwo (OKT 9) dan Mohamed Zairi Zainal Abidin (OKT 2).