Pembeli Tiket Konsert, Maraton, Festival Boleh Tarik Nafas Lega Dengan ‘Ticket Refund Insurance’

LocalBusiness & Finance
9 Apr 2025 • 10:31 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Syarikat insurans digital terkemuka, Tune Protect Malaysia (Tune Protect), telah bekerjasama dengan platform tiket utama Malaysia, Ticket2U memperkenalkan Ticket Refund Insurance bagi acara di Malaysia.

Inisiatif terbaharu ini sekali gus mewujudkan standard baharu dalam perlindungan acara dengan menyediakan keselamatan kewangan yang lebih baik serta ketenangan fikiran untuk pembeli tiket.

Pelan menyeluruh itu meliputi tiket untuk pelbagai acara, termasuk persidangan, maraton, larian, konsert, festival dan kejohanan sukan, yang memastikan pemegang tiket menerima bayaran balik penuh jika keadaan tidak dijangka menghalang mereka daripada menghadiri acara tersebut. 

Meliputi pelbagai situasi tidak dijangka, Ticket Refund Insurance melindungi peserta daripada gangguan seperti kecemasan perubatan, kematian akibat kemalangan, kecemasan rumah seperti kebakaran atau kecurian, bencana alam dan pengangguran secara tiba-tiba, bagi memastikan pembeli tiket tidak terbeban dari segi kewangan. 

Perlindungan itu juga meliputi kemalangan jalan raya, kerosakan kenderaan dalam perjalanan ke acara tersebut, serta keadaan tidak dijangka yang lain.

"Pelancaran Ticket Refund Insurance merupakan satu transformasi bagi pengunjung acara, memberi mereka keyakinan untuk menempah tiket tanpa rasa takut akan perkara yang tidak dijangka bakal mengganggu rancangan mereka.

“Pelan perlindungan yang inovatif ini mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan insurans mudah, lancar dan boleh dicapai oleh semua orang.

“Dengan kehadiran peserta acara yang semakin meningkat, kami memastikan bahawa pelanggan dapat menikmati sepenuhnya acara kegemaran mereka tanpa tekanan, mengetahui mereka mempunyai jaringan keselamatan yang boleh dipercayai," ulas Ketua Pegawai Eksekutif, Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta.

image is not available
Jubin Mehta

Sementara itu, Pengarah Urusan, Ticket2U Sdn Bhd, YC Chia, berkata, Ticket2U memberikan tumpuan terhadap peningkatan pengalaman tiket, dan Ticket Refund Insurance yang menandakan satu langkah penting ke arah menetapkan piawaian industri baharu.

“Perlindungan ini memberi pembeli tiket jaminan yang lebih besar, mengetahui mereka dilindungi jika perkara yang tidak dijangka berlaku, di samping mengukuhkan kepercayaan antara penganjur acara dengan peserta.

“Dengan mengurangkan risiko kewangan dan menjadikan pembelian tiket lebih selamat, kami meningkatkan keyakinan dalam kehadiran acara dan menyokong pengalaman acara yang lebih dinamik serta bebas kebimbangan untuk semua,” katanya.

Sports PA (Insurans Kemalangan Peribadi)

Bagi penggemar sukan, Sports PA (Insurans Kemalangan Peribadi) tersedia sebagai tambahan pilihan, memberikan perlindungan kewangan untuk kecederaan akibat kemalangan yang dialami semasa acara berkaitan sukan, memastikan ketenangan fikiran sambil kekal aktif. 

“Dengan menyepadukan perlindungan dengan lancar ke dalam perjalanan tiket acara, Ticket2U dan Tune Protect menetapkan piawaian industri baharu bagi perlindungan pengguna terhadap kejadian yang tidak dijangka sambil meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan dengan lebih yakin dan mudah,” tambah Jubin.

Tersedia untuk semua pelanggan Ticket2U yang membeli tiket acara, insurans ini tersedia untuk pelbagai acara, termasuk konsert, perlawanan sukan, pameran dan festival dengan hanya lima peratus daripada harga tiket. 

Proses pembelian insurans juga amat mudah dan pantas. Anda hanya perlu beli tiket acara yang hendak dihadiri dan beli Ticket Refund Insurance semasa daftar keluar. Pembelian dan perlindungan diaktifkan secara automatik.

Proses tuntutan juga amat mudah, pembeli hanya perlu menyerahkan tuntutan terus kepada Tune Protect dengan dokumentasi yang diperlukan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Ticket Refund Insurance, lawati www.ticket2u.com.my. - Getaran, 9 April 2025