
KUALA LUMPUR - Pembelian besar yang dirancang oleh syarikat-syarikat Malaysia ke atas produk Amerika Syarikat (AS) telah meyakinkan negara itu untuk menurunkan tarif eksport dari 25% kepada 19%, kata Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurutnya, ia termasuk pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dan pembelian berkenaan bukan semata-mata untuk mengurangkan tarif.
“Pembelian pesawat ini sebenarnya adalah keputusan perniagaan strategik oleh MAG dan dibiayai menggunakan dana syarikat, bukan duit cukai rakyat.
“Rancangan pembelian ini telah diumumkan seawal Mac 2025 lagi, masa tu Presiden Trump (Donald Trump) belum umumkan tarif lagi,’’ katanya menerusi catatan di akaun X beliau.
Tengku Zafrul memberitahu, pendekatan itu menunjukkan kepada AS bahawa Malaysia juga merupakan pembeli besar produk mereka dan strategi bijak ini adalah hasil perundingan yang teliti bagi memastikan kepentingan syarikat dan negara terpelihara.
“Jadi, apa kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif? Apabila Amerika Syarikat mengenakan tarif, ia sebahagiannya disebabkan oleh defisit dagangan.
"Maksudnya, kita jual lebih banyak barangan ke AS berbanding membeli barang dari AS, jadi AS cuba nak kurangkan defisit ini dengan mengenakan tarif yang tinggi, 25%,’’ katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac mengumumkan MAG telah membuat tempahan sebanyak 30 pesawat Boeing 737 yang dijadualkan dihantar kepada syarikat itu menjelang 2030.
Pada Jumaat, Tengku Zafrul berkata Malaysia telah bersetuju untuk membeli tambahan 30 pesawat Boeing, bernilai AS$9.5 bilion, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala dengan Amerika Syarikat.
Langkah ini susulan rundingan antara kedua-dua negara, yang telah menghasilkan pengurangan tarif import AS ke atas produk Malaysia daripada 25% kepada 19%, berkuat kuasa mulai 8 Ogos. - 3 Ogos, 2025
The post Pembelian besar produk AS termasuk pesawat yakinkan AS turunkan tarif: Zafrul appeared first on Scoop.

