SETIAP kali berlaku krisis sama ada pandemik, perang, ketidaktentuan ekonomi atau spekulasi kenaikan harga, akan muncul satu fenomena berulang iaitu pembelian panik.
Kebimbangan ini bukanlah tanpa asas terutamanya apabila melihat situasi geopolitik di Asia Barat yang semakin memuncak.
Namun, bagi rakyat Malaysia, jawapan kepada keresahan ini adalah jelas iaitu bertenang dan jangan buat pembelian panik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu juga memberi jaminan tegas bekalan daging dan ayam adalah mencukupi untuk menampung keperluan sepanjang musim perayaan ini.
Jaminan ini bukan sekadar kata-kata manis tetapi bersandarkan kepada pemantauan rapi rantaian bekalan negara yang dipersiapkan lebih awal.
Dalam era digital, satu khabar angin 'bekalan habis' boleh tersebar lebih pantas daripada keupayaan pihak berkuasa menafikannya. Akhirnya, pengguna bertindak berdasarkan emosi, bukan fakta.
Walaupun konflik di Asia Barat sering dikaitkan dengan kenaikan kos logistik atau harga minyak global, kerajaan menegaskan harga barangan keperluan asas di pasaran tempatan kekal stabil.
Tindakan segelintir masyarakat menyerbu pasar raya untuk membeli dalam kuantiti luar biasa hanya akan merosakkan ekosistem pasaran.
Pembelian panik bukan berlaku kerana keperluan sebenar, tetapi kerana persepsi kekurangan.
Apabila pengguna melihat orang lain membeli secara berlebihan, mereka terdorong melakukan perkara sama. Ia adalah kes klasik herd mentality (mentaliti ikut-ikutan) yang digerakkan oleh ketakutan, bukan rasional.
Dari sudut ekonomi, pembelian panik mencipta permintaan luar biasa dalam jangka masa singkat. Ini mengganggu rantaian bekalan, menaikkan harga, dan dalam kes tertentu membuka ruang kepada aktiviti pencatutan.
Ironinya, tindakan pengguna sendiri yang mencetuskan masalah yang mereka cuba elakkan.
Namun, menyalahkan pengguna semata-mata juga tidak adil. Kurangnya komunikasi jelas dan konsisten daripada pihak berkuasa serta pemain industri sering menjadi pencetus utama.
Apabila maklumat rasmi lambat, bercanggah atau tidak meyakinkan, ruang itu akan diisi spekulasi.
