Pembelian pesawat F/A-18 terpakai dari Kuwait hanya langkah sementara, Parlimen diberitahu

10/10/2025 - 11:41
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 10 Okt – Pembelian pesawat pejuang terpakai F/A-18 dari Kuwait hanyalah langkah jangka pendek bagi menampung jurang keupayaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, pembelian itu bukan sebahagian perancangan jangka panjang negara untuk memiliki pesawat baharu dan lebih canggih, sebaliknya hanya pelan sementara bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara kekal terjamin.
“Perolehan pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-14.
“Namun, perolehan pesawat dari Kuwait ini masih belum dimuktamadkan dan hanya akan diputuskan selepas pasukan teknikal TUDM membuat lawatan kerja ke Kuwait bagi menilai keadaan pesawat tersebut secara menyeluruh,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Ia menjawab persoalan dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang untuk memperoleh pesawat moden berbanding pesawat terpakai, susulan nahas pesawat F/A-18D Hornet pada 21 Ogos lalu di Kuantan.
Mengulas mengenai nahas tersebut, Khaled menjelaskan hasil siasatan mendapati ia berpunca daripada serangan burung pada enjin pesawat dan bukan disebabkan kegagalan teknikal.
“Pesawat F/A-18D masih selamat digunakan sehingga sekitar tahun 2035 hingga 2040,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pesawat Sukhoi Su-30MKM TUDM yang kini berusia 18 tahun telah melalui program lanjutan hayat perkhidmatan dan akan menjalani proses naik taraf pertengahan hayat bagi memastikan tahap keselamatan operasi sehingga 2040.
Langkah tersebut katanya selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 yang digariskan bagi memperkukuh pertahanan udara negara secara berperingkat.
Pada 16 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan Kementerian Pertahanan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dalam pembelian aset ketenteraan, khususnya pesawat terpakai yang boleh mengancam nyawa juruterbang dan anggota tentera.
Seri Paduka Baginda bertitah, pengalaman negara membeli pesawat terpakai Skyhawk sebelum ini seharusnya menjadi iktibar kerana pesawat berkenaan akhirnya tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
"Jangan ulangi kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat second hand Skyhawk... adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam keranda terbang? Awak fikirlah sendiri.
"Saya percaya semua ini berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ejen atau bekas jeneral yang jadi salesman (jurujual), malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual dron," titah Sultan Ibrahim pada Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun ke-60 Rejimen Gerak Khas (RGK) di Kem Iskandar, Johor.
Susulan itu, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, rancangan untuk membeli empat buah helikopter Black Hawk terpakai bernilai RM187 juta dibatalkan. - DagangNews.com
featured standard

