Pembelian tanah di Melaka dijangka tingkatkan untung bersih Hektar Reit, kata HLIB

LocalBusiness & Finance
14 Jul 2025 • 3:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembelian tanah di Melaka dijangka tingkatkan untung bersih Hektar Reit, kata HLIB

image is not available

14/07/2025 - 15:35

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Julai – Perolehan tanah pajakan oleh Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) di Melaka bernilai RM40 juta dilihat positif dari sudut penilaian dan potensi pulangan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).


Firma penyelidikan itu berkata, tanah seluas 16.92 hektar di Mukim Durian Tunggal itu dinilai pada harga tersirat RM22 bagi setiap kaki persegi iaitu 21% lebih murah berbanding harga median urus niaga tanah tahun ini yang dianggarkan sekitar RM28.

“Secara keseluruhan, kami positif terhadap urus niaga ini kerana ia bersifat menambah hasil (yield-accretive), mengurangkan risiko melalui struktur pajakan bersih tiga kali ganda (triple net lease), serta dinilai pada harga yang menarik,” kata HLIB dalam nota kajiannya.

Urus niaga itu juga melibatkan perjanjian pajakan selama 30 tahun dengan KYSA Education Sdn Bhd iaitu pengendali Kolej Yayasan Saad (KYS), sebuah sekolah berasrama penuh swasta di Melaka yang diasaskan tokoh korporat, Tan Sri Halim Saad.

Pembelian ini diklasifikasikan sebagai urus niaga pihak berkaitan memandangkan KYS College Sdn Bhd, selaku penjual tanah mempunyai hubungan rapat dengan pemegang unit utama Hektar REIT.

Firma itu berkata, tanah tersebut akan memberikan pulangan hasil sewa bersih sebanyak 5.3%, lebih tinggi daripada unjuran hasil sewa portfolio semasa Hektar REIT yang berada pada paras 4.9% menjelang 2026.

“Nisbah keberhutangan Hektar REIT dijangka hanya meningkat sedikit sebanyak 0.9 mata peratusan kepada 42.7% selepas pembelian dimuktamadkan,” katanya.

HLIB turut mengunjurkan hartanah baharu ini akan meningkatkan keuntungan bersih Hektar REIT sebanyak 2% pada 2026 dan 3.4% pada 2027.

Sehubungan itu, HLIB menaikkan harga sasaran saham Syarikat itu sebanyak lima sen kepada 46 sen sesaham.

Namun, HLIB masih mengekalkan saranan "pegang" terhadap saham tersebut, mengambil kira jangkaan penurunan hasil agihan masa depan berikutan kenaikan harga unit selepas pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini. - DagangNews.com

standard

View Original Article