Pembenihan awan di selatan tanah air hasilkan hujan - Ahmad Zahid

LocalEnvironment
23 Apr 2026 • 9:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pembenihan awan di selatan tanah air hasilkan hujan - Ahmad Zahid
Kerjasama erat antara MetMalaysia, TUDM dan Nadma turut menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan operasi berkenaan.

KUALA LUMPUR - Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Melaka dan Johor yang dilaksanakan bermula Isnin hingga Khamis berjaya menghasilkan taburan hujan yang signifikan di beberapa kawasan sasaran.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata taburan hujan antara dua hingga 24 milimeter (mm) sehari direkodkan di Melaka manakala di Johor, antara lima hingga 40mm sehari.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat itu berkata operasi tersebut dilaksanakan di lapan empangan dan dua loji rawatan air di Melaka pada Isnin serta Selasa sebelum diteruskan di Johor pada Rabu dan Khamis. 

"Bagi siri ketiga di Johor, operasi tertumpu di beberapa kawasan tadahan empangan utama termasuk Empangan Machap, Upper Layang, Lower Layang, Pulai dan Lebam serta kawasan Gugusan Lok Heng dan Bukit Waha di Kota Tinggi.

"Operasi dilaksanakan oleh pesawat TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) yang berlepas dari Pangkalan Subang dan selesai dalam tempoh kurang tiga jam, meliputi beberapa zon sasaran yang telah dikenal pasti,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Ahmad Zahid juga berkata keadaan atmosfera yang sesuai sepanjang tempoh operasi membantu proses pembentukan awan hujan dengan lebih efisien.

Beliau berkata kerjasama erat antara Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), TUDM dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan operasi berkenaan.

Ahmad Zahid berkata operasi itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kelestarian sumber air negara khususnya dalam mendepani cabaran perubahan cuaca yang tidak menentu.

"Insya-ALLAH, kita akan terus memantau keadaan semasa dan memperkukuh usaha yang perlu bagi memastikan kesiapsiagaan serta pengurusan sumber air negara sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya. - Bernama 

 

 

View Original Article