Pembersihan Sisa Buangan Industri Di Bukit Pelandok Telan Kos Lebih RM1.1 Juta

LocalEnvironment
17 Dec 2024 • 8:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Pembersihan Sisa Buangan Industri Di Bukit Pelandok Telan Kos Lebih RM1.1 Juta

Pencemaran alam sekitar seperti tiada pengakhiran di negara kita. Biarpun pihak berkuasa semakin tegas dalam mengambil tindakan undang-undang, namun masih ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menganggap pencemaran bukan satu isu besar yang mampu mengancam kesejahteraan negara.

Baru-baru ini, isu pelupusan haram sisa industri di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan, telah mencuri perhatian ramai setelah penemuan lebih 800 tong drum dan IBC Tank, yang dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Dato’ Wan Abdul Latiff Bin Wan Jaffar dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun antara individu yang turun padang membuat pemantauan di lokasi berkenaan.

Difahamkan, sisa-sisa ini dilupuskan secara haram di dua lokasi berbeza, dan penemuan ini menimbulkan persoalan besar mengenai kesan jangka panjang terhadap alam sekitar dan masyarakat setempat.

image is not available
Kredit: Jabatan Alam Sekitar

Kos tinggi, siapa yang menanggung?

Kos untuk membersihkan dan melupuskan sisa-sisa kimia ini dianggarkan sebanyak RM1,169,747.94. Bayangkan, wang sebanyak itu yang sepatutnya digunakan untuk kesejahteraan rakyat, terpaksa dikorbankan untuk menangani kerosakan yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Proses pembersihan ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan beberapa pihak berkaitan. Ini menunjukkan betapa seriusnya isu ini sehingga melibatkan pelbagai pihak dan sumber.

Kesan terhadap alam sekitar dan masyarakat

Pembuangan sisa kimia seperti pelarut terpakai dan bahan kimia berbahaya lainnya memberi kesan langsung kepada alam sekitar. Tidak hanya tanah yang tercemar, malah air dan udara juga terancam. Bagi masyarakat yang tinggal berhampiran, mereka terdedah kepada risiko kesihatan yang serius jika pembersihan ini tidak dilakukan dengan segera dan menyeluruh.

image is not available
Kredit: Jabatan Alam Sekitar

Tindakan tegas terhadap pencemar alam sekitar

Berdasarkan siasatan, JAS tidak akan berkompromi dengan individu yang terlibat dalam kegiatan ini. Di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM100,000 hingga RM10 juta. Ini adalah amaran keras kepada semua pihak yang masih berfikir untuk mencemarkan alam sekitar demi keuntungan.

Seruan kepada masyarakat

JAS juga mengajak masyarakat untuk tampil melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar. Jika anda mengetahui sebarang kes pelupusan haram atau pencemaran, sila laporkan segera ke talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui e-mel di aduan_k@doe.gov.my.

Semakin ramai yang terlibat dalam memelihara alam sekitar, semakin mudah kita dapat mengekalkan kebersihan dan kelestariannya.

#JagaAlamSekitar #PelupusanHaram #BersihBersama #AlamSekitarTanggungjawabBersama