Pembikin seni ‘nazak’ kreativiti, biarlah netizen jadi ‘gatekeeper’

LocalOpinion
7 Sep 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pembikin seni ‘nazak’ kreativiti, biarlah netizen jadi ‘gatekeeper’

‘DUNIA ini keras, berjuanglah walau sampai ke langit ketujuh sekali pun, sesungguhnya tidak ada kebebasan mutlak untuk seni dan media’.

Sengaja penulis berseloroh begitu kerana di mana-mana pelosok, orang seni dan media juga tidak pernah berhenti berjuang.

Mereka melaungkan semangat kebebasan, ada yang berdemonstrasi di jalanan mahupun didokumentasi dalam penulisan, lukisan atau karya fiksyen, semuanya demi mengekspresikan emosi, luahan, agenda politik, sosial sama ada bersifat kelompok mahupun peribadi, namun semuanya ada sekatan.

Perkara itu tidak asing dalam masa sama wujud rasa ketidakadilan, namun itulah adat bahawa kreativiti seni dan media itu tidak ada yang sebenar-benarnya bebas apabila bersangkut-paut dengan agama dan kenegaraan.

Kontroversi Madu Atau Racun yang sudah menebus segala keresahan umum ketika ini contoh paling hampir.

Adegan panas, babak ranjang suami isteri atau pasangan kekasih bangsa asing sahaja sudah mudah mencetuskan debat, inikan pula drama ‘Melayu-Islam’ yang nampak bersungguh menayangkan adegan

bernafsu dua manusia sejantina, sememangnya keresahan khalayak jadi berganda.

Lantas, berjuanglah para pelakon dan pengarahnya atas nama ‘camera trick’ dan penghayatan watak kelas A, semua itu tidak cukup untuk menghalalkan paksi yang sudah terang-terangan sengaja ditabrak.

Tindakan sudah jelas, Madu Atau Racun diturunkan daripada laman penstriman, perlu disemak semula agar segala unsur LGBTQ dipadamkan.

Persoalannya, terhapus totalkah kebimbangan umum tentang gejala jijik yang semakin hendak dinormalisasikan itu? Dalam masa sama, kontroversi itu mencerminkan dua perkara.

Satu kesedaran masyarakat yang semakin juara menjadi gatekeeper atau juga pengawal sosial dan kedua, realiti ‘nazaknya’ pemikiran kreatif segelintir pembikin sinema tanah air demi memenangi tuntutan rating. Kemerosotan moral itu yang paling membimbangkan.

Di sini, Madu Atau Racun itu contoh penularan wabak penyakit sosial atau loceng amaran yang jelas kepada industri perfileman tempatan bahawa sempadan suci agama dan budaya tidak sepatutnya dijadikan ‘umpan’ untuk menarik jutaan view. Sebelum ini juga pernah ada filem Mentega Terbang berkisarkan kekeliruan agama yang diharamkan penayangan.

Kita pernah dikejutkan dengen pementasas teater pelajar universiti yang galak bermain elemen ranjang suami isteri. Semua telah menerima nasib sama, dikecam dikutuk keras. Jadi kepada pembikin, sekatan bukan pematah semangat sehingga esok lahirnya kembali karya klise, ‘berkhutbah’ dan berjela-jelas dialog nasihatnya. Penulis pasti ada banyak ‘trick’ visual tersirat yang boleh dibikin, jika secara terang-terangan iktibar yang kalian perjuangkan kononnya itu diharamkan kerajaan dan masyarakat.

The post Pembikin seni ‘nazak’ kreativiti, biarlah netizen jadi ‘gatekeeper’ appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved