
SANDAKAN: Sebuah hotel bertaraf tiga hingga empat bintang bakal dibangunkan di pulau berhampiran Kampung Sim-Sim.
Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata pembangunan hotel berkenaan merupakan antara usaha bagi menarik pelabur sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
“Selain itu sebuah hotel terkemuka di bandar ini yang telah menghentikan perkhidmatannya juga akan dibuka semula dengan pemilikan baharu.
“Semua ini bakal menjadi titik permulaan Sandakan sebagai hub ekonomi dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Aidilfitri Parlimen Sandakan di perkarangan Pasar Sim-Sim pada Sabtu.
Turut hadir Pegawai Perhubungan merangkap Biro Wanita dan Agama Parlimen Sandakan, Monelizah Mohd Tahir dan Ketua Kampung Sim-Sim, Abdul Halim Othman.
Dalam majlis sama Vivian turut menyampaikan bakul makanan kepada 100 asnaf dan warga emas bagi kawasan Kampung Sim-Sim.
Sementara itu Vivian mengajak penduduk kampung terbabit membangkitkan semangat perpaduan dan usaha yang berterusan dalam memangkin kemajuan Kampung Sim-Sim pada masa hadapan.
“Kampung ini bukan sekadar sebuah perkampungan nelayan tetapi merupakan lambang keindahan warisan, budaya dan kekuatan komuniti. Saya amat berbangga dengan semangat muafakat serta daya tahan masyarakat di sini yang terus berusaha memajukan kehidupan walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
“Kita bertekad untuk terus memperjuangkan pembangunan Kampung Sim-Sim agar penduduk mendapat kemudahan yang lebih baik termasuklah aspek infrastruktur, pendidikan dan peluang ekonomi,” katanya.

