Pembinaan Kiub Gergasi Mukaab Di Riyadh Telah Dihentikan

WorldArchitecture
27 Jan 2026 • 9:28 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Projek Mukaab di Riyadh diumumkan pada tahun 2023 dengan ia merupakan bangunan berbentuk kiub terbesar dunia. Dengan dimensi 400x400x400 meter, ia segera menerima nama jolokan Kaabah kedua kerana rekaan kiub yang serupa.

Walaupun pembinaan telah dimulakan pada tahun 2024, projek ini telahpun dihentikan oleh kerajaan Arab Saudi bagi melakukan penilaian semula projek mega yang menelan belanja $50 bilion dan mungkin digantikan dengan projek komersial yang lebih menguntungkan.

Pembinaan dihentikan sehari selepas projek mega Neom juga telah dikecilkan skalanya. Antara yang terjejas ialah saiz The Line yang pada asalnya sepanjang 170 kilometer tetapi dihadkan kepada bahagian fasa pertama The Hidden Marina sahaja yang akan menempatkan stadium tertinggi dunia untuk Piala Dunia 2034.  Sementara itu projek pusat luncur salji Trojena dan projek pusat data lestari Oxagon juga terjejas.

Di dalam Mukaab yang bermakna kiub dalam Bahasa Arab, terdapat sebuah menara yang menjadi tempat kediaman, membeli belah, pelancongan, dan perniagaan. Menara ini mempunyai keluasan lantai 2 juta meter persegi. Bahagian dalam dilitupi oleh skrin gergasi seakan The Sphere Vegas yang boleh memaparkan pelbagai pemandangan luar kerana Mukaab tidak mempunyai tingkap. Oleh itu pemandangan penduduk di dalam menara boleh diubah mengikut musim, masa dan situasi.

image is not available

Mukaab adalah sebahagian daripada projek New Murabba dengan keluasan 19 kilometer persegi yang akan menjadi tempat tinggal ratusan ribu penduduk. Walaupun pembinaan Mukaab dihentikan, New Murabba yang akan menempatkan universiti, muzium, ruang pejabat, hospital dan tempat tinggal masih diteruskan.

View Original Article