
JASIN: Projek pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Melaka oleh Kerajaan Persekutuan akan menyelesaikan isu sumber air mentah yang terhad dengan meneroka sumber air mentah baharu yang terdapat di negeri ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan Melaka terhadap bekalan air mentah dari negeri-negeri lain seperti Johor dan Negeri Sembilan.
“Kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM350 juta melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pembinaan TAPS Melaka bertempat di Tasik Biru ini bagi menambah sumber bekalan air mentah di seluruh negeri ini.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan pusat turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), bagi kerja- kerja penyaluran air mentah dari TAPS Melaka ke Empangan Jus di daerah Jasin yang dijangka siap pada 2028,” katanya ketika berucap merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3 Jasin di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan pusat juga sedang melaksanakan projek pembinaan TAPS Jernih di Alor Gajah dengan peruntukan RM234.7 juta dan dijangka siap pada 2026.
Ismail Sabri berkata mengadakan pilihan raya berasingan akan menyusahkan rakyat yang terpaksa keluar mengundi dua kali dan melibatkan perbelanjaan tinggi untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengulas mengenai keputusan PAS untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN), Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata Umno telah menjangkakan perkara tersebut lebih awal.
Justeru itu, beliau berkata Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini telah membuat beberapa kenyataan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) bersedia bergerak solo pada PRU15.
Bagaimanapun, katanya beliau menghormati keputusan mana-mana parti dan menyifatkan tindakan PAS sebagai hak parti berkenaan.
Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat semalam memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN bagi menghadapi PRU15 dan ia dibuat satas prinsip penyatuan ummah.-Bernama

