Pembonceng maut, rakan parah gagal elak kereta keluar simpang

20 Apr 2025 • 2:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan motosikal mangsa selepas berlaku pelanggaran dengan Nissan Grand Livina dipandu lelaki berusia 58 tahun pada malam Sabtu.

MELAKA – Seorang remaja lelaki maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta dipandu seorang pesara di Jalan Taming Sari pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian berlaku pada jam 10.10 malam ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari pusat bandar menghala ke Cheng.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Nissan Grand Livina yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun keluar dari simpang di lorong kiri berhadapan RTM Jalan Mawar dan membelok ke arah pusat bandar Melaka.

“Motosikal jenis Demak Skyline yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan tidak sempat mengelak, lalu berlanggar dengan kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal, Chan Qing Jie, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang motosikal, Chee Wee Han, 18, cedera parah dan sedang menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Melaka.

Pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipercayai ketika itu dalam perjalanan ke majlis rumah terbuka di kawasan Kandang.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved