
Pembukaan Operasi Bilik Gerakan Bencana Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan
PUTRAJAYA, 29 NOVEMBER 2024 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana KPKM dan menggerakkan operasi di semua peringkat bagi membantu golongan petani, peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri antaranya di Kelantan dan Terengganu.
Ini selaras dengan laporan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) pada 5 November 2024 hingga Mac 2025 yang menjangkakan hujan lebat di beberapa negeri di mana berpotensi berlakunya banjir. KPKM telah menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri serta mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat pusat, negeri dan daerah.
Laporan awal kejadian bencana bagi sektor tanaman semasa secara kumulatif dari 27 November 2024 sehingga 28 November adalah membabitkan 174 orang petani dengan anggaran keluasan 295.00 hektar kawasan pertanian dan anggaran nilai kerosakan RM837,535.
Bilik Gerakan Bencana KPKM di peringkat daerah dan negeri sedang memantau keadaan cuaca, membuat hebahan awal kepada golongan sasar dan melaksanakan pelan mitigasi bagi mengurangkan kerugian kepada sektor agromakanan negara ketika bencana berlaku.
KPKM sentiasa berada dalam keadaan siap siaga dan bersedia menggerakkan aset-aset bagi membantu usaha-usaha menyelamat mangsa banjir sekiranya perlu dan mendapat kebenaran dari pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Pada 26 November 2024 lalu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebuah agensi di bawah KPKM telah mengedarkan 60,000 Kit Bantuan Makanan bagi persediaan Monsun Timur Laut melalui NADMA.
KPKM turut menyediakan bantuan-bantuan pasca bencana kepada warga yang terkesan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bagi tanaman padi dan Tabung Bencana Pertanian (TBP) bagi aktiviti agromakanan dalam usaha membantu petani, penternak dan nelayan yang terkesan bencana dan memerlukan bantuan segera.
Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana KPKM di talian 03-88701663/1664/1491 atau e-mel bilikgerakan@kpkm.gov.my bagi mendapatkan info lanjut.
The post Pembukaan Operasi Bilik Gerakan Bencana Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan appeared first on Siakap Keli.
