Pemburu tertembak sepupu disangka rusa

17 Jan 2026 • 2:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun cedera di kedua-dua bahagian kaki dan tangan selepas terkena tembakan sepupunya berumur 37 tahun, yang menyangka mangsa seekor rusa, ketika memburu.

Mangsa, semasa menerima rawatan di Hospital Ranau, pada mulanya mendakwa dia cedera selepas mengetuk sebutir peluru dengan batu lalu meletup. Hasil pemeriksaan X-Ray kemudian mendapati kecederaan tersebut konsisten dengan luka tembakan.

Setelah pihak polis dimaklumkan, hal sebenar didedahkan. Keterangan kes merekodkan kejadian berlaku di sebuah kawasan sungai di Kg Waluhu Ranau kira-kira jam 3 petang Rabu lepas.

Hasil risikan dan siasatan awal mendapati, sehari sebelum kejadian, mangsa bersama sepupunya membawa bakakuk (senjata buatan sendiri) dan masuk ke kawasan sungai di Kg Waluhu bagi tujuan memburu.

Selepas bermalam di kawasan tersebut, pada esoknya mereka terjumpa satu kawasan disyaki laluan rusa dan tempat air masin di mana rusa minum.

Kedua-duanya balik semula ke khemah untuk berehat, dan lebih kurang jam 2 petang, mangsa berjalan seorang diri untuk mulakan aktiviti memburu di kawasan air masin tersebut.

Sejam kemudian, suspek pula keluar memburu. Semasa mangsa sedang bersembunyi menunggu hasil buruan, tiba-tiba suspek melepaskan satu das tembakan kepada sasaran yang disyaki rusa, namun sebaliknya adalah mangsa.

Pada Khamis, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ranau membuat tangkapan ke atas suspek di kampung tersebut.

Memandangkan siasatan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, pihak polis memohon untuk menahan suspek selama empat hari bermula Khamis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata berkaitan kesalahan memiliki, membawa, atau menggunakan senjata api tanpa lesen atau permit yang sah, dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 7 tahun, denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya.

View Original Article