Pemecatan Amorim Undang Reaksi Bercampur, Peminat United Berbelah Bahagi

Football
6 Jan 2026 • 11:06 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

LONDON – Pemecatan Ruben Amorim sebagai pengurus Manchester United mencetuskan reaksi bercampur dalam kalangan penyokong kelab itu, dengan sebahagiannya menyatakan rasa lega, manakala selebihnya meluahkan kebimbangan terhadap hala tuju jangka panjang pasukan.

Sebahagian penyokong menyambut pemergian pengurus dari Portugal itu selepas beliau dikritik kerana pendekatan taktikal yang dianggap terlalu rigid, pemilihan pemain yang mengundang tanda tanya serta kenyataan media yang dilihat mengelirukan dan mencetuskan ketegangan dalaman.

“Ramai peminat memang tak puas hati dengan cara dia buat pertukaran pemain, pemilihan kesebelasan dan formasi. Cara dia bercakap dengan media kebelakangan ini pun nampak degil, macam tak boleh terima kritikan. Sama ada ikut cara dia, atau langsung tak ada ruang,” kata seorang penyokong di luar Old Trafford.

Namun begitu, terdapat juga kelompok peminat yang kecewa dengan keputusan kelab untuk sekali lagi menukar pengurus, mengingatkan bahawa situasi itu sudah menjadi kitaran berulang sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013. Amorim merupakan pengurus ke-10, sama ada interim atau tetap, yang mengemudi United sejak tempoh tersebut.

Kenyataan Media Jadi Titik Perpecahan

Ada yang melihat kenyataan berani Amorim selepas keputusan seri 1-1 menentang Leeds sebagai detik yang meretakkan hubungannya dengan kelab.

“Itu permulaan kepada pengakhiran. Membuka isu dalaman kepada media bukan ‘United Way’. Saya rasa dia berada di bawah tekanan besar dan mungkin sudah bersedia untuk pergi,” ujar seorang lagi penyokong.

Dalam masa sama, ada peminat yang berpendapat Amorim sepatutnya diberi lebih masa untuk membuktikan keupayaannya.

“Kita takkan nampak kemajuan kalau terus tukar pengurus. Sepatutnya beri dia sampai hujung musim,” kata seorang penyokong yang kecewa dengan keputusan tersebut.

Beberapa penyokong turut menekankan situasi sukar yang dihadapi Amorim, termasuk kehilangan pemain utama akibat kecederaan serta tugasan di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

“Sebenarnya ada beberapa perlawanan yang menunjukkan permainan bagus. Tapi bila pemain penting tiada, keadaan jadi sukar. Konflik dengan pengurusan, khususnya Jason Wilcox, mungkin jadi noktah terakhir,” kata seorang penyokong lain.

Secara keseluruhan, reaksi ini memperlihatkan perpecahan jelas dalam kalangan peminat Manchester United, antara rasa lega melihat Amorim berundur dan kebimbangan berterusan terhadap kestabilan serta hala tuju pengurusan kelab untuk masa depan. – The Malaysian Update

The post Pemecatan Amorim Undang Reaksi Bercampur, Peminat United Berbelah Bahagi appeared first on The Malaysian Update.