Pemegang saham AWC luluskan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Stream Group berharga RM110 juta
diyana
13/12/2023 - 18:14
KUALA LUMPUR 13 Dis - AWC Berhad telah mendapat kelulusan pemegang sahamnya untuk mengambil alih baki 49% kepentingan dalam pembekal sistem pengumpulan sisa automatik, Stream Group Sdn Bhd bernilai RM110 juta daripada Premium NXL Sdn Bhd (PNSB).
Dalam satu kenyataan media hari ini, AWC berkata ia turut memperoleh 51% kepentingan dalam Premium Patents Sdn Bhd daripada PNSB dan Premium Deluxe Sdn Bhd (PDSB).
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presiden Kumpulan AWC, Datuk Ahmad Kabeer sejak ia memulakan hubungan dengan Stream Group pada 2004, kumpulan itu telah terlibat dalam perniagaan ini selama hampir 20 tahun.
Tambahnya, kumpulan itu telah memainkan peranan penting dalam mengubah mereka menjadi juara tempatan yang mempunyai kehadiran dan mempunyai asas pemasangan sistem pengumpulan sisa automatik (AWCS) proprietari mereka dalam pelbagai projek mercu tanda merentasi pelbagai negara di seluruh dunia seperti Malaysia, Singapura, China, UAE, Qatar, Australia dan India.

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan untuk memperuntukkan lebih banyak sumber dan meningkatkan impak untuk memanfaatkan peningkatan permintaan untuk AWCS yang dilaksanakan oleh Stream Group.
“Kami berhasrat untuk meneroka pasaran yang belum diterokai seperti Indonesia dan Kerajaan Arab Saudi, di mana kami berharap dapat mengulangi penggunaan berskala besar AWCS syarikat seperti di Pantai Al Raha, Abu Dhabi,” kata Ahmad Kabeer dalam kenyataan tersebut.
Di rantau ini, beliau berkata AWCS Stream Group menyaksikan penggunaan pantas di Singapura kerana Lembaga Pembangunan Perumahan telah menjadikannya sebagai keperluan mandatori, manakala Malaysia telah menyaksikan banyak pemaju bereputasi mengikuti trend kerana AWCS telah dilaksanakan dalam projek penting seperti Merdeka PNB 118.
“Dengan kelulusan daripada pemegang saham, kami berharap dapat menyelesaikan pengambilalihan dalam suku pertama 2024, yang menjadi urus niaga terbesar dalam sejarah syarikat,” tambahnya.
Setelah pengambilalihan selesai, Stream Group akan menjadi anak syarikat milik penuh AWC, membolehkan AWC menyelaras dan menyatukan sepenuhnya prestasi kewangan syarikat terbabit.
Setakat1 Julai 2023, Stream Group mempunyai buku pesanan tertunggak kira-kira RM132.36 juta dan buku tender kira-kira RM107.11 juta.
AWC berkata pengambilalihan ini juga selaras dengan strategi keseluruhan kumpulan untuk meningkatkan keuntungannya dengan menambah baik pulangannya dalam perniagaan pengurusan sisa yang dianggap sebagai fokus utama dalam inisiatif perniagaan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan memudahkan pertumbuhan berterusan perniagaan teras kumpulan sebagai penggiat ESG yang pelbagai. - DagangNews.com
