Pemegang saham Eurospan dinasihat tolak tawaran pengambilalihan Samuel Ng - MainStreet Adviser

22/09/2025 - 15:12
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 22 Sept - Penasihat bebas MainStreet Adviser Sdn Bhd mengesyorkan pemegang saham Eurospan Holdings Berhad supaya menolak tawaran am mandatori (MGO) daripada pemegang saham besar baharu syarikat itu, Samuel Ng Heng Hong kerana tawaran itu dianggap “tidak adil dan tidak munasabah”.
MainStreet dalam edaran nasihat bebas yang dikeluarkan berkata, harga tawaran RM2.30 sesaham, yang dicetuskan selepas Samuel Ng memperoleh pegangan 74.14% dalam Eurospan melalui kenderaan persendiriannya, EC Synergy (M) Sdn Bhd, mewakili diskaun berbanding prestasi pasaran sejarah syarikat, meskipun lebih tinggi daripada nilai aset bersih terlarasnya.
“Pemegang saham dinasihatkan untuk memantau dengan teliti harga pasaran saham Eurospan dan menilai harga tawaran, sebelum membuat keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran tersebut sebelum tarikh tutup (1 Oktober 2025),” katanya.
Penilaian MainStreet menunjukkan tawaran tersebut menilai keseluruhan ekuiti Eurospan pada kira-kira RM44.03 juta, atau 99 sen sesaham.
Ia mewakili premium sebanyak RM1.31, atau 132.32%, berbanding nilai aset bersih terlaras kumpulan, tetapi ia merupakan diskaun jika dibandingkan dengan tahap dagangan terkini.
Secara khusus, harga tawaran RM2.30 adalah 21.77% lebih rendah berbanding harga dagangan terakhir saham Eurospan pada 19 Ogos lalu (sehari sebelum MGO dilancarkan).

Ia mewakili diskaun antara 4.10% hingga 21.43% berbanding purata harga wajaran volum (VWAP) saham Eurospan bagi tempoh lima hari, sebulan, tiga bulan, enam bulan dan setahun. Tambahan pula, ia berada 10.16% dan 13.14% lebih rendah berbanding harga dagangan terakhir dan VWAP lima hari saham Eurospan pada 17 September lalu.
MainStreet merumuskan, tawaran itu tidak munasabah, kerana saham Eurospan akan kekal tersenarai dan boleh diniagakan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, sekali gus membolehkan pemegang saham terus merealisasikan nilai di pasaran terbuka.
Bagaimanapun, ia memberi amaran tiada jaminan tahap harga semasa dan jumlah dagangan akan dikekalkan selepas tawaran ditutup.
MainStreet turut mengingatkan pemegang saham mengenai hak mereka di bawah Seksyen 223 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), yang membolehkan pemegang saham yang membantah mendesak pengambil alih membeli saham mereka di bawah syarat-syarat tertentu.
“Keputusan berhubung tawaran itu bagaimanapun bergantung kepada risiko dan objektif pelaburan individu. Sekiranya pemegang saham mahu dan jika kecairan mengizinkan, mereka boleh mempertimbangkan untuk melupuskan saham mereka di pasaran terbuka sekiranya harga pasaran lebih tinggi daripada harga tawaran, setelah mengambil kira kos transaksi,” katanya.
MGO tersebut dicetuskan selepas Samuel Ng memperoleh pegangan kawalan dalam Eurospan daripada pengerusinya Tan Han Chuan dan adiknya Tan Ching Ching dengan nilai RM75.75 juta. Kedua-dua beradik itu merupakan anak kepada ahli perniagaan Tan Sri Robert Tan Hua Choon, yang terkenal sebagai “Raja Casio”.
Sebelum pengambilalihan itu, Samuel Ng dan EC Synergy tidak memiliki sebarang saham dalam Eurospan.
Ini merupakan MGO kedua dalam tempoh sedikit lebih setahun bagi Eurospan, yang terlibat terutamanya dalam pembuatan dan perdagangan perabot serta produk berasaskan kayu, selain perdagangan bateri SLA dan automotif.- DagangNews.com
standard
