hamden20/11/2026 - 09:46 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov - Pemegang saham terbesar YNH Property Bhd (YNH), Datuk Dr Yu Kuan Chon, meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat itu berkuat kuasa serta-merta susulan pertikaian dengan lembaga pengarah berhubung akses kepada maklumat berkaitan siasatan pemindahan beberapa hartanah milik anak syarikat kumpulan.
Yu, 64, yang merupakan pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif, mengambil keputusan itu selepas mendakwa tidak diberikan akses kepada maklumat yang diperlukan untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ahli lembaga pengarah.
Beliau turut menyatakan tidak setuju terhadap keputusan lembaga pengarah yang enggan memberikan maklumat berkaitan akaun kumpulan, menurut pemakluman YNH kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Bagaimanapun, Lembaga Pengarah menjelaskan Yu dikenakan cuti pentadbiran pada 29 Oktober 2026 sebagai langkah berjaga-jaga dan memandangkan beliau merupakan pengarah berkepentingan, sementara menunggu penyelesaian siasatan berhubung pemindahan beberapa hartanah milik anak syarikat kumpulan tanpa penerimaan bayaran pembelian.
Perkara berkenaan mula dibangkitkan kepada Yu pada April 2026 sebelum beliau meminta maklumat lanjut mengenai isu itu. Satu laporan polis kemudian dibuat pada 12 September 2026.
Menurut pemakluman itu, sepanjang tempoh cuti pentadbiran berkenaan, akses Yu kepada rekod dan dokumen kumpulan dihadkan serta tertakluk kepada kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Lembaga Pengarah.
Bagaimanapun, YNH tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai hartanah yang terbabit dalam pemindahan berkenaan.
Yu dilantik sebagai ahli lembaga pengarah YNH pada 3 September 2003 sebelum dilantik sebagai pengerusi eksekutif pada 20 Februari 2004.
Beliau kemudian ditukar jawatan kepada pengarah eksekutif pada 18 Disember 2024, sebelum dilantik sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif pada 17 Disember 2025.
Beliau merupakan abang kepada pengerusi eksekutif YNH, Datuk Yu Kuan Huat, serta bapa saudara kepada pengarah urusan, Yu Kai Leun dan pengarah eksekutif, Yu Kai Liang.
Dari segi pegangan saham, Yu memiliki 128.98 juta saham secara langsung dalam YNH, mewakili 24.38% kepentingan, selain 43.18 juta saham secara tidak langsung atau 8.16% pegangan dalam syarikat itu. - DagangNews.com

