Pemergian Pelajar PSIS Jadi Sinar Baharu, Derma Organ Bantu Pesakit Yang Memerlukan

Health & Fitness
29 Jul 2026 • 11:04 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Pemergian Pelajar PSIS Jadi Sinar Baharu, Derma Organ Bantu Pesakit Yang Memerlukan

Pemergian Pelajar PSIS Jadi Sinar Baharu, Derma Organ Bantu Pesakit Yang Memerlukan

Seorang pelajar Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) meninggalkan legasi penuh makna apabila mendermakan organnya selepas meninggal dunia, sekali gus memberi harapan baharu kepada pesakit yang sedang menanti peluang untuk meneruskan kehidupan.

Allahyarham Nabil Izz Qaisar Mohd Zairee, 19, disahkan meninggal dunia pada jam 3.50 petang kelmarin sebelum menjalani prosedur pendermaan organ di Hospital Selayang pada awal pagi semalam.

Kisah pengorbanan terakhir pelajar Diploma Kewangan Islam, Jabatan Perdagangan PSIS itu dikongsikan bekas guru kelasnya, Hizandie Shuaib, menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Hizandie, Allahyarham bukan sahaja dikenang sebagai seorang pelajar yang baik sepanjang hayatnya, malah pemergiannya turut membawa sinar kepada insan lain melalui pendermaan organ.

"Anak yang baik ini tidak 'pulang' begitu sahaja. Arwah akan menjalani prosedur pembedahan derma organ yang akan menjadi amal jariah terakhir arwah sebagai bekalan akhirat.

Baca juga:

"Moga memberi manfaat besar kepada bakal penerima organ yang memerlukan nanti," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Hizandie turut berkongsi detik terakhir yang sukar dilupakan ketika berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang.

Katanya, beliau sempat menggenggam tangan kanan Allahyarham buat kali terakhir, namun tiada lagi balasan seperti yang sering diterimanya setiap kali bertemu anak didiknya itu.

"Tangan kanan itulah yang selalu dihulurkan untuk bersalaman dengan saya setiap kali bertemu. Maafkan Sensei, Nabil. Aku tak mampu menahan sebak.

"Ketika hidup disayangi, selepas meninggal dunia masih berbakti. Rezeki arwah dengan pengakhiran yang begitu indah," katanya lagi.

Menurut Hizandie, beliau mengenali Allahyarham selama lima tahun sepanjang mengajarnya di dalam kelas serta menerusi aktiviti bola sepak dan kokurikulum.

Allahyarham dilahirkan pada 26 Julai 2007 dan menghembuskan nafas terakhir sehari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19.

"Terima kasih Nabil atas semua kenangan sepanjang lima tahun saya mengajar awak. Jasamu akan terus dikenang. Syurga untukmu. Tariklah tangan gurumu ini bersamamu nanti," luahnya.

Sementara itu, suasana penuh hiba menyelubungi Hospital Selayang apabila warga perubatan bersama ahli keluarga serta rakan-rakan Allahyarham mengadakan 'honour walk' sebagai penghormatan terakhir sebelum jenazah dibawa ke dewan bedah bagi menjalani prosedur pendermaan organ.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa pulang ke Sabak Bernam dan selamat dikebumikan selepas solat Asar semalam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved