Pemeriksa forensik kenal pasti tulisan daripada beberapa individu dalam jurnal Zara Qairina

26 Aug 2026 • 8:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemeriksa forensik kenal pasti tulisan daripada beberapa individu dalam jurnal Zara Qairina
Mahkamah Koroner pada Rabu diberitahu bahawa beberapa jurnal yang diperiksa berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir mengandungi catatan tulisan tangan beberapa individu.

KOTA KINABALU - Mahkamah Koroner pada Rabu diberitahu bahawa beberapa jurnal yang diperiksa berhubung kes kematian Zara Qairina Mahathir mengandungi catatan tulisan tangan beberapa individu.

Saksi ke-79, pemeriksa dokumen forensik Tay Eue Kam memberitahu Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa catatan dalam jurnal hijau yang ditandakan sebagai W1 dan jurnal "Simple Style Book” berwarna ungu pastel ditandakan sebagai W2 ditulis oleh lebih daripada seorang individu.

Bagi W1, Eue Kam berkata, sebahagian besar tulisan tangan dalam jurnal itu dikenal pasti sebagai tulisan Zara Qairina, kecuali dua halaman yang mengandungi catatan ditulis menggunakan pensel.

Dalam W2 pula, kebanyakan tulisan tangan dikenal pasti sebagai tulisan Zara Qairina, kecuali catatan pada halaman 58, 59, 61, 76, 87, 88, 98 dan 100.

Beliau berkata, tulisan yang meninggalkan kesan tekanan pada halaman 51 dan 53 W2 juga didapati bukan hasil tulisan Zara Qairina.

Sementara itu, Eue Kam berkata, jurnal berwarna coklat gelap yang ditandakan sebagai W3 mengandungi tulisan daripada lebih dua individu, dengan sebahagian catatan dikenal pasti sebagai tulisan Zara Qairina manakala selebihnya ditulis individu lain.

Beliau berkata, terdapat sokongan kukuh menunjukkan beberapa kumpulan catatan dalam jurnal itu bukan ditulis oleh Zara Qairina manakala kumpulan catatan lain didapati ditulis olehnya.

Jurnal "Love and Peace” berwarna hijau zaitun yang ditandakan sebagai WK9 turut didapati mengandungi tulisan daripada lebih dua individu.

Eue Kam berkata, sebahagian catatan dalam jurnal itu dikenal pasti sebagai tulisan Zara Qairina manakala penulis bagi beberapa catatan lain tidak dapat dipastikan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaannya terhadap 15 helaian berasingan yang ditandakan Y1 hingga Y15 turut mendapati mengandungi tulisan daripada lebih dua individu.

Beliau berkata, terdapat sokongan kukuh menunjukkan catatan pada Y1b hingga Y5b, Y9b, Y10a dan Y10b bukan ditulis oleh Zara Qairina, manakala catatan pada Y9a pula ditulis lebih daripada seorang individu.

Eue Kam berkata, pemeriksaan dilakukannya melibatkan perbandingan tulisan tangan dalam jurnal, buku sekolah dan helaian kertas berasingan dengan sampel tulisan tangan Zara Qairina yang diketahui serta sampel tulisan tangan pelajar lain di sekolahnya.

Beliau berkata, pemeriksaan itu berdepan beberapa kekangan termasuk kekurangan sampel tulisan tangan Zara Qairina bagi tempoh antara akhir 2024 hingga awal 2025.

Eue Kam berkata, pada ketika itu, Zara Qairina dan pelajar lain juga berusia bawah 16 tahun, menyebabkan ciri tulisan tangan mereka mungkin belum matang sepenuhnya, sekali gus menyukarkan proses membezakan antara setiap penulis.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.

Prosiding inkues bersambung esok dengan saksi sama. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved