Pemeriksaan Bagasi Dikaji Semula, Pertimbang Penggunaan Pengimbas Lebih Canggih - Saifuddin 

LocalTechnology
9 Aug 2026 • 2:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperketat pemeriksaan bagasi di lapangan terbang serta meneroka penggunaan peralatan pengesanan lebih canggih, bagi menutup sebarang kelemahan dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan barangan terlarang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kajian semula itu akan meliputi skop pemeriksaan sedia ada, keupayaan pegawai yang menjalankan pemeriksaan serta kemungkinan penggunaan teknologi baharu.

Beliau berkata, pemeriksaan bagasi ketika ini yang dijalankan anggota Aviation Security (AVSEC) dan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), lebih tertumpu kepada pengesanan senjata selaras dengan piawaian yang ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Pemeriksaan bagasi dilakukan oleh AVSEC dan polis bantuan MAHB dengan keutamaan diberikan kepada pemeriksaan mengikut piawaian keselamatan lapangan terbang antarabangsa di bawah ICAO.

“Jadi, keutamaan lebih kepada senjata seperti senjata api, senjata tajam, bom dan sebagainya. Tetapi dalam kes ini, ia melibatkan barangan terlarang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pelepasan rombongan Star City FC – The Pride of the North 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.

Saifuddin Nasution Ismail - Gambar fail
Saifuddin Nasution Ismail - Gambar fail

Saifuddin berkata, mesin pengimbas sedia ada sebenarnya mempunyai keupayaan tinggi untuk mengesan pelbagai jenis barangan, namun skop pemeriksaan yang lebih tertumpu kepada senjata menyebabkan aspek pengesanan barangan terlarang perlu diberi perhatian lebih serius.

“Mesin pengimbas kita tidak mempunyai sebarang kekurangan dari segi keupayaan. Kita sudah dimaklumkan dan diberi taklimat. Saya sendiri telah diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (MCBA), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Semua mesin pengimbas kita mempunyai keupayaan tersebut. Tetapi dari sudut skop pemeriksaan, fokusnya lebih kepada elemen berkaitan senjata. Jadi, walaupun barangan terlarang juga boleh dikesan, kita melihat perkara ini sebagai salah satu ruang penambahbaikan yang perlu diberi tumpuan, selaras dengan kepakaran pegawai yang menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, keberkesanan proses pemeriksaan bukan sahaja bergantung kepada kecanggihan peralatan, tetapi turut dipengaruhi keupayaan pegawai yang mengendalikan mesin berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, keupayaan dan kepakaran anggota yang menjalankan pemeriksaan turut menjadi antara aspek yang akan diteliti.

Saifuddin berkata, kerajaan juga tidak menolak kemungkinan menaik taraf mesin pengimbas sedia ada, mengambil kira perkembangan teknologi keselamatan lapangan terbang yang sentiasa berubah.

“Bagi mesin pengimbas sedia ada, yang pernah saya lihat sebelum ini, termasuk sebelum insiden ini berlaku, ia merupakan mesin berkeupayaan tinggi yang mampu mengesan pelbagai jenis barangan.

“Namun, sudah tentu pegawai yang mengendalikan mesin itu adalah perkara yang berbeza. Dan adakah kita akan kekal dengan mesin sedia ada tanpa sebarang perubahan pada masa akan datang? Sudah tentu tidak.

“Di luar sana, dalam sistem pemeriksaan di pintu masuk lapangan terbang, terdapat pelbagai jenis peralatan yang jauh lebih maju dan mempunyai keupayaan yang lebih tinggi. Jadi, kita sentiasa terbuka untuk menggunakan apa jua peralatan baharu,” katanya.

Menurut Saifuddin, kerajaan akan meneliti keseluruhan proses pemeriksaan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan serta menentukan langkah segera yang boleh diambil untuk memperkukuh penguatkuasaan.

Kajian semula itu dibuat ketika pihak berkuasa berusaha memastikan sistem keselamatan lapangan terbang kekal berkesan dalam mengesan bukan sahaja ancaman konvensional seperti senjata api, senjata tajam dan bahan letupan, malah pelbagai bentuk barangan terlarang yang lain. - Getaran, 9 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved