Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran penting untuk kesihatan, namun manfaatnya sukar dilihat secara langsung.
Dengan Galaxy Watch8, Samsung memperkenalkan Indeks Antioksidan, ciri pertama dalam jam tangan pintar yang mengukur tahap antioksidan tubuh, sekali gus membantu pengguna memahami kesan pemakanan dan gaya hidup.
Dari Catatan Makanan Ke Imbasan 5 Saat
Sebelum ini, menilai kualiti pemakanan memerlukan log makanan terperinci atau ujian darah. Kini, pengguna hanya perlu menekan ibu jari pada bahagian belakang jam selama lima saat. Jam akan mengukur tahap karotenoid dalam kulit dan memaparkannya sebagai Indeks Antioksidan.
Teknologi ini bergantung pada BioActive Sensor Samsung yang menggunakan kaedah multi-wavelength absorption spectroscopy. Sensor memancarkan cahaya berbeza iaitu kuning, biru, ungu dan hijau ke atas kulit.

Karotenoid, iaitu sebatian organik kaya elektron yang menyerap cahaya biru, akan menyerap dan memantulkan cahaya tertentu. Corak pantulan tersebut digunakan untuk menentukan kepekatannya. Lebih kerap seseorang mengambil buah dan sayur, lebih tinggi pengumpulan karotenoid pada kulit.
Spektrum kulit juga dipengaruhi melanin dan hemoglobin. Untuk meminimumkan gangguan ini, pengukuran dilakukan pada jari bagi mengurangkan kesan melanin, dan kaedah menekan ibu jari digunakan untuk menghadkan aliran darah secara sementara bagi mengurangkan pengaruh hemoglobin.
Mengecilkan Sensor Tanpa Mengorbankan Ketepatan
Samsung mula membangunkan sensor Indeks Antioksidan sejak 2018. Cabarannya adalah menghasilkan sensor bersaiz kecil yang mampu menandingi ketepatan peralatan makmal besar.
Susunan LED dan fotodiod perlu sangat tepat, dan pasukan menjalankan ratusan ujian untuk mencari konfigurasi optimum.
Bagi pengesahan, sensor dibandingkan dengan ‘Raman spectroscopy’, iaitu teknik berasaskan laser yang digunakan secara klinikal untuk mengukur karotenoid melalui getaran molekul. Kaedah ini terlalu besar dan kompleks untuk kegunaan harian, maka Samsung menggunakan kaedah pantulan kulit berasaskan LED-PD dan menyemak ketepatannya dengan Raman spectroscopy.

Kajian perbandingan dengan ujian darah dan ujian klinikal turut dijalankan. Peserta mencatat dan mengambil gambar setiap hidangan selama seminggu, membolehkan penyelidik membandingkan pengambilan buah-sayur dengan bacaan sensor. Dengan ratusan peserta daripada pelbagai latar belakang, ketepatan sensor disahkan secara saintifik.
Kerjasama menjadi faktor penting di mana Samsung Medical Center, Universiti Connecticut dan pakar pemakanan serta kesihatan awam turut terlibat bagi memastikan data merangkumi populasi pelbagai etnik.
Cara Memanfaatkan Indeks Antioksidan
Menurut Samsung, karotenoid mengambil masa dua hingga tiga minggu untuk terkumpul pada kulit, jadi pengguna disarankan mengekalkan diet sihat sekurang-kurangnya dua minggu dan melakukan pengukuran sekali atau dua kali sehari pada waktu yang sama.
Aplikasi Samsung Health menawarkan laporan perubahan harian hingga tahunan serta petua pemakanan. Indeks Antioksidan bukan sahaja dipengaruhi diet, malah gaya hidup. Tahapnya boleh menurun apabila badan menghasilkan radikal bebas secara berlebihan, termasuk selepas senaman terlalu intensif.

Dengan kehadiran Google Gemini dalam jam tangan buat pertama kali, pengguna boleh mendapatkan cadangan makanan kaya antioksidan secara peribadi.
Penunjuk Kesihatan Di Hujung Jari
Indeks Antioksidan dilihat sebagai ‘penterjemah kesihatan’yang membantu pengguna memahami tabiat pemakanan, tekanan dan rutin harian. Dalam era penyakit kronik yang semakin meningkat di kalangan generasi muda, ciri ini membantu membina gaya hidup lebih sihat.
Galaxy Watch8 turut menawarkan fungsi lain seperti Sleep Score dan Energy Score. Gabungan ciri-ciri ini membawa pengalaman pengurusan kesihatan peribadi ke tahap lebih menyeluruh, seiring keutamaan baharu masyarakat — bukan sekadar hidup lebih lama, tetapi hidup dengan lebih sihat.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan siri Galaxy Watch8 hari ini, boleh klik di sini:
Galaxy Watch Ultra - Getaran, 26 November 2025
Photo : Samsung
