
TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berdepan ujian besar terhadap pengaruhnya dalam parti Likud apabila anggota parti itu mengundi dalam pemilihan dalaman bagi menentukan sebahagian besar calon untuk pilihan raya Knesset pada 27 Oktober.
Keputusan pemilihan itu dijangka mempengaruhi hala tuju politik Likud, dengan beberapa anggota Parlimen penyandang berisiko kehilangan kerusi masing-masing.
Likud juga dijangka memenangi jumlah kerusi lebih rendah berbanding 32 kerusi yang dimilikinya ketika ini.
Netanyahu sejak beberapa bulan lalu berusaha mendapatkan kawalan lebih besar terhadap senarai calon pilihan raya parti berkenaan.
Menurut laporan media tempatan, beliau sebelum ini cuba menggantikan sistem pemilihan dalaman dengan sebuah jawatankuasa yang akan bertanggungjawab memilih calon.
Usaha itu bagaimanapun gagal, namun Netanyahu berjaya mendapatkan hak untuk melantik sendiri lapan calon ke dalam senarai parti, sekali gus memberikannya pengaruh besar dalam menentukan komposisi calon Likud.
Menurut laporan Haaretz, Netanyahu turut berusaha mengurangkan pengaruh beberapa anggota Parlimen Likud yang lebih berhaluan keras, selain mengetengahkan calon yang dianggapnya lebih berpotensi meraih sokongan pengundi.
Pemilihan dalaman itu dijangka menjadi ukuran sejauh mana Netanyahu masih mempunyai pengaruh dalam Likud serta sama ada anggota parti bergerak mengikut arah yang diingininya, lapor Haaretz.
Kira-kira 140,000 anggota Likud layak mengundi dalam pemilihan berkenaan.- AGENSI
The post Pemilihan Likud uji pengaruh Netanyahu appeared first on Utusan Malaysia.



