Pemilihan PKR: Anwar serah kepada parti putuskan pertandingan dua jawatan tertinggi

LocalPolitics
15 Feb 2025 • 4:16 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada parti untuk memutuskan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PKR perlu dipertandingkan atau tidak, pada pemilihan parti Mei depan.

Sebagai Presiden PKR, Anwar berkata beliau menghormati demokrasi dalam parti dan tidak mahu mencampuri urusan berkenaan.

“Biar mereka putuskan. Saya tidak campur. Biar demokrasi (tentukan)... yang bertanding, tak bertanding (biar) parti putuskan,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pecah tanah Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dilaporkan berkata PKR berkemungkinan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti akan datang.

Cadangan itu katanya berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.

Mengikut perlembagaan PKR, penggal akan datang adalah yang terakhir untuk Anwar selaku Presiden sekiranya memilih untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Pada 26 Jan lepas, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh dilapor berkata parti itu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan.