
SHAH ALAM - Pemilik bengkel digesa untuk mempamerkan sijil kelayakan pekerja mekanik di premis masing-masing supaya pengguna mengetahui tahap kepakaran yang ditawarkan oleh individu membaiki kenderaan mereka.
Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata, perkara itu perlu dilakukan segera agar mekanik yang mempunyai kelulusan daripada institusi pengajian memperoleh keadilan dengan menerima bayaran setimpal.
“Kita bukan mahu menghalang individu yang tidak mempunyai kelulusan tetapi mempunyai kemahiran membaiki kereta daripada membuka bengkel, tetapi keadaan itu akan menimbulkan kesukaran untuk menilai kualiti kerja mereka.
“Perkara utama yang hendak diperjuangkan adalah bayaran harga upah perkhidmatan membaiki kereta dengan penyelarasan kualiti,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan, pengusaha bengkel perlu mempamerkan senarai nama mekanik dan kelayakan sijil kemahiran di kawasan yang mudah dilihat oleh pengguna.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia bertujuan untuk membolehkan pengguna mempunyai maklumat dalam memilih bengkel yang mempunyai mekanik berkelayakan.
Dalam pada itu, Hezeri berkata, sekiranya seseorang individu yang menyukai bidang membaiki kenderaan tetapi tidak mempunyai kemahiran yang diiktiraf, mereka digalakkan untuk mengambil kursus supaya penyelarasan kualiti boleh dibuat.
Tambahnya, mekanik keluaran institusi pengajian mempunyai tahap pengetahuan asas yang baik dalam membuka bengkel.
“Minyak hitam merupakan satu bahan sisa tercemar yang mempunyai kawalan dan tidak boleh dibuang merata-rata seperti dalam longkang. Apabila ia dibuang di dalam longkang, ia akan mengalir ke sungai dan terus ke punca air paip kita.
“Oleh sebab itu, kita tidak boleh buka bengkel di tepi rumah orang atau bawah pokok. Kita memang perlu kawal bengkel-bengkel segera ini,” ujarnya.
Menurutnya, pekerja bengkel juga perlu dianggap sebagai satu pekerjaan professional yang mana ia memerlukan kawalan dan kelayakan.

