

Pemilik kenderaan BMW di beberapa negara berang dengan BMW gara-gara menyelitkan iklan filem baharu "Spider-Man" pada skrin papan pemuka, lapor New York Post.
Animasi yang muncul pada skrin penuh itu mencetuskan kemarahan pemandu dengan menyifatkan syarikat pembuat kereta Jerman itu memperlakukan kenderaan persendirian mereka seolah-iolah ruang iklan sewa.

"Bayar USD$$50-USD$100k untuk sebuah kereta, tapi masih mendapat IKLAN," tulis seorang pengguna Reddit yang marah.
"BMW patut hentikan perangai *** ini," kata seorang lagi.
Kemarahan itu dicetuskan oleh janji BMW sebelum ini bahawa ia tidak akan menjual ruang skrin dalam kereta kepada pengiklan.
Difahamkan, iklan itu muncul model BMW yang dibina selepas Julai 2020 dan menggunakan BMW Operating System 7 atau versi lebih baharu di lebih 70 negara.
Iklan tersebut muncul sebagai sepanduk (banner) sebaik enjin kereta dihidupkan. Pemandu boleh klik padanya untuk melancarkan animasi skrin penuh selama 19 saat dengan muzik dan pertunjukan cahaya melalui sistem pencahayaan ambien kenderaan itu.
Pemandu tidak perlu membuka iklan tersebut, tetapi mereka tidak boleh mengelak daripada melihat banner itu. Tiada butang skip.
Iklan itu mula dilancarkan pada 27 Julai dan dijadualkan kekal bersiaran hingga 10 Ogos ini.
Sementara itu, Pengasas ConsumerWorld.org dan bekas penolong peguam, Edgar Dworsky menyifatkan skrin paparan adalah untuk menyediakan kemudahan seperti kawalan kereta seperti navigasi, kawalan iklim, video kamera undur, dan lain-lain.
"Namun sekarang skrin infotainmen dijadikan sebagai ruang pengiklanan, perkara ini tidak sepatutnya berlaku," tegasnya.
Animasi papan pemuka itu adalah sebahagian daripada kempen pemasaran besar-besaran Sony Pictures untuk "Spider-Man: Brand New Day" yang dinilaikan oleh Deadline sebanyak $309 juta dalam pendedahan media seluruh dunia — rekod sepanjang zaman Hollywood.
Filem itu ditayangkan dengan jualan tiket global mencecah kira-kira $932 juta.

