Pemilik Chromecast (Gen 2) dan Chromecast Audio Melaporkan Peranti Tidak Lagi Berfungsi

TechnologyDigital
11 Mar 2025 • 11:59 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pemilik Chromecast (Gen 2) dan Chromecast Audio di seluruh dunia melaporkan dongel yang membolehkan kandungan daripada telefon pintar dilontarkan ke TV atau speaker mereka tidak lagi berfungsi. Apabila ciri Google Cast cuba digunakan, mereka menerima mesej amaran “untrusted device” pada peranti.

image is not available

Google menyedari akan isu ini dan telahpun mengatakan mereka akan memperbaiki isu ini secepat mungkin. Mereka juga meminta pemilik untuk melakukan proses tetapan semula peranti (factory reset) pada waktu ini. Dalam beberapa perbincangan di atas talian, isu ini berkait dengan sijil kelayakan peranti yang diberikan oleh Google yang membenarkan ciri Cast digunakan.

Sijil kebenaran untuk Chromecast (Gen 2) dan Chromecast Audio telah luput pada 9 Mac lalu selepas 10 tahun. Isu yang sama tidak dilaporkan oleh pemilik Google Chromecast (Gen 3), Google Chromecast Ultra, Google Chromecast with Google TV dan Google TV Streamer.

Google menegaskan ini bukan petanda kedua-dua peranti yang dilancarkan pada tahun 2015 ini akan dihentikan sokongannya. Setakat ini hanya Chromecast (Gen 1) sudahpun ditamatkan sokongannya pada tahun 2023.