Pemilik Enam Rumah Sewa Hilang Kelayakan STR, SARA Ditarik Balik

LocalPolitics
17 Jan 2026 • 2:17 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) mengesahkan kelayakan penerimaan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) seorang lelaki telah ditarik balik selepas siasatan mendapati beliau memiliki enam buah rumah sewaan.

Menurut MoF, lelaki berkenaan kini sedang disiasat di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana disyaki gagal mengisytiharkan pendapatan sewaan yang diterima.

Memetik kenyataan kepada Buletin TV3, MoF memaklumkan siasatan lanjut mendapati pemilikan hartanah berkenaan adalah benar berdasarkan rekod pindah milik dalam sistem e-Duti Setem Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

“Hartanah tersebut didaftarkan atas nama penerima bantuan serta pasangan beliau. Berdasarkan penemuan ini, kelulusan STR dan SARA terhadap individu berkenaan telah ditarik balik,” menurut kenyataan itu.

Tular Di Media Sosial, Pemilikan Hartanah Dipersoalkan

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran oleh seorang lelaki yang mendedahkan beliau menerima bantuan STR dan SARA berjumlah kira-kira RM1,900 setahun, selain mengaku memiliki enam buah hartanah sewaan yang dibeli sejak tahun 2007.

Perkongsian tersebut mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat, termasuk gesaan agar pemilikan hartanah dijadikan antara kriteria utama dalam penentuan kelayakan bantuan kerajaan.

Dalam pada itu, MoF sekali lagi mengingatkan semua pemohon supaya memberikan maklumat yang tepat dan benar ketika mengemukakan permohonan bantuan.

Tegas kementerian, sekiranya didapati berlaku pemalsuan atau maklumat tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil, selain kerajaan berhak menarik balik sebarang bantuan yang telah diluluskan. – The Malaysian Update

The post Pemilik Enam Rumah Sewa Hilang Kelayakan STR, SARA Ditarik Balik appeared first on The Malaysian Update.