Pemilik Kedai Kecil Bosnia Teruja Kibarkan Bendera Malaysia, Undang Sebak Rakyat Kita

14 Jan 2026 • 7:43 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

SARAJEVO – Sikap mesra dan penuh penghargaan seorang pemilik kedai kecil di Bosnia mencuri perhatian warganet apabila dia dengan penuh teruja mengibarkan bendera Malaysia sebaik menyedari kehadiran rakyat negara ini di kedainya.

Detik menyentuh hati itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna @symrsmdi_, yang memperlihatkan pakcik warga Bosnia berkenaan tersenyum bangga sambil mengibarkan Jalur Gemilang, seolah-olah sudah lama mengenali rakyat Malaysia.

Menurut perkongsian tersebut, hubungan erat dan rasa hormat rakyat Bosnia terhadap Malaysia bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya berakar daripada jasa besar negara ini ketika dan selepas Perang Bosnia yang berlaku antara tahun 1992 hingga 1995.

Malaysia ketika itu tampil memberikan bantuan kemanusiaan, sokongan politik serta misi keamanan, yang sehingga hari ini masih diingati dan dihargai oleh rakyat Bosnia.

“Comel je pakcik Bosnia ni kibarkan bendera MALAYSIA !! Macam tahu-tahu je kita orang Malaysia. Korang kalau singgah Sarajevo Bosnia jangan lupa singgah kedai pakcik ni okey!” tulis pemilik hantaran berkenaan.

Jasa Malaysia Terpahat di Hati Rakyat Bosnia

Perkongsian tersebut nyata mengundang reaksi sebak dan rasa bangga dalam kalangan warganet yang rata-ratanya percaya penghormatan itu berpunca daripada jasa besar Malaysia suatu ketika dahulu. Ramai menyatakan bahawa sehingga kini, rakyat Bosnia masih mengingati peranan Malaysia serta kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam isu kemanusiaan Bosnia.

Ada yang berkongsi pengalaman peribadi bahawa menyebut sahaja nama Malaysia atau Tun Mahathir di sana, rakyat tempatan akan terus menunjukkan rasa hormat dan penghargaan. Malah, ada juga yang memaklumkan ahli keluarga mereka yang baru pulang dari Bosnia mengakui masyarakat di sana masih amat menghormati Malaysia.

Bagi warganet, momen ini menjadi bukti bahawa ketika dunia seakan melupakan penderitaan Bosnia suatu ketika dahulu, Malaysia memilih untuk terus membantu. Keikhlasan itu akhirnya meninggalkan kesan mendalam yang kekal dalam ingatan rakyat Bosnia, walaupun puluhan tahun telah berlalu.

Pengalaman hospitaliti yang ditunjukkan oleh pemilik kedai kecil tersebut disifatkan sebagai sesuatu yang sukar dilupakan, sekali gus mengingatkan bahawa jasa dan kemanusiaan tidak pernah mengenal sempadan, dan nama Malaysia masih terpahat indah di hati sebahagian rakyat Bosnia hingga ke hari ini.

Sejarah Perang Bosnia dan Peranan Malaysia

Untuk rekod, Perang Bosnia tercetus pada tahun 1992 susulan perpecahan Yugoslavia dan menyaksikan pembunuhan beramai-ramai, pembersihan etnik serta krisis kemanusiaan yang meragut ratusan ribu nyawa umat Islam Bosnia. Ketika banyak negara memilih untuk berdiam diri, Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, tampil lantang mengecam kekejaman tersebut di pentas antarabangsa.

Malaysia bukan sahaja menghantar bantuan kemanusiaan, malah menyumbang pasukan pengaman di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain memberi sokongan politik dan moral kepada rakyat Bosnia. Keberanian Tun Dr. Mahathir bersuara membela Bosnia menjadikan Malaysia antara negara Islam yang paling dihormati di sana, dan jasa itu terus dikenang sehingga hari ini, seperti yang terserlah melalui momen kecil namun bermakna ini. – The Malaysian Update

The post Pemilik Kedai Kecil Bosnia Teruja Kibarkan Bendera Malaysia, Undang Sebak Rakyat Kita appeared first on The Malaysian Update.