Pemilik kedai runcit didenda RM16,000 jual rokok tiada label, bawah harga minimum

LocalHealth & Fitness
13 May 2026 • 2:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemilik kedai runcit didenda RM16,000 jual rokok tiada label, bawah harga minimum
Anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan paket rokok yang dirampas dalam satu operasi di sebuah kedai runcit di Kampung Tengah, Chukai, Kemaman.

​KEMAMAN - Tindakan seorang pemilik kedai runcit menjual rokok tanpa label amaran kesihatan serta di bawah harga minimum RM12 sekotak membawa padah apabila didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

​Hukuman tersebut diputuskan Majistret Marsha Abdul Malik selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

​Mengikut pertuduhan pertama, premis berkenaan didapati menjual produk tembakau jenama Surya Gudang Garam dalam bungkusan yang tidak mempunyai label amaran kesihatan sebagaimana yang ditetapkan.

​Bagi pertuduhan kedua, pemilik premis itu didapati menjual rokok jenama Surya Gudang Garam pada harga RM9 dan jenama Bosston pada harga RM6 sekotak, sekali gus melanggar ketetapan harga jualan minimum RM12 bagi setiap paket.

​Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah premis di Kampung Tengah, Chukai, kira-kira jam 11.30 pagi pada 27 Oktober 2025.

​Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), dibaca bersama Peraturan 5(a) dan Peraturan 9(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024.

​Sabit kesalahan pelaku boleh dihukum di bawah Seksyen 10(2)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

​Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM8,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan denda sebanyak RM16,000.

​Kes berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohd Azman Mohd Ramli.

View Original Article