Pemilik kenderaan boleh pindah kelayakan BUDI Diesel kepada ahli keluarga

LocalCars
29 Jun 2026 • 3:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pemilik kenderaan boleh pindah kelayakan BUDI Diesel kepada ahli keluarga

SHAH ALAM, 29 Jun: Pemilik kenderaan diesel kini dibenarkan memindahkan kelayakan subsidi di bawah program BUDI Diesel kepada ahli keluarga terdekat yang menggunakan kenderaan berkenaan.

Kementerian Kewangan memaklumkan pemindahan kelayakan itu boleh dibuat kepada ahli keluarga terdekat yang layak menerima BUDI95, iaitu suami atau isteri, ibu atau bapa, anak serta adik-beradik, tanpa perlu menukar hak milik kenderaan.

Sebagai contoh, sekiranya bapa yang layak menerima BUDI Diesel memindahkan kelayakan kepada anak yang layak di bawah BUDI95, anak berkenaan akan menerima kelayakan BUDI Diesel termasuk tambahan kuota 100 liter.

Bagaimanapun, pemindahan itu tidak akan menjejaskan kelayakan bapa di bawah program BUDI95 yang akan terus diterimanya.

Menurut kementerian, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan manfaat subsidi diesel disalurkan kepada individu yang benar-benar layak menggunakannya.

Setiap individu hanya dibenarkan membuat satu permohonan pemindahan, manakala kelayakan yang telah dipindahkan dan diluluskan tidak boleh dikembalikan kepada pemilik asal.

Permohonan boleh dibuat dengan log masuk ke portal BUDI MADANI di budimadani.gov.my dan melengkapkan maklumat yang diperlukan sebelum menghantar permohonan.

Bagi pelaksanaan fasa pertama, permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 12 Julai depan, manakala keputusan boleh disemak mulai 15 Julai.

Bagi bulan-bulan berikutnya, permohonan perlu dihantar sebelum atau pada 27 hari bulan. Sekiranya diluluskan, kelayakan subsidi akan berkuat kuasa pada hari pertama bulan berikutnya.

Pada 27 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan program BUDI Diesel berasaskan MyKad yang membolehkan penerima layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan portal BUDI MADANI telah menerima lebih 18,000 permohonan bagi mendapatkan tambahan kuota 100 liter diesel bersubsidi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved