Pemilik Kereta Lama Lebih 20 Tahun Boleh Terima Geran Padanan Sehingga RM4,000 Untuk Lupuskan Kenderaan

LocalCars
28 Jan 2026 • 11:29 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Tidak dapat dinafikan bahawa masih terdapat banyak kereta lama yang digunakan di jalan raya, dengan ada yang sehingga mencecah usia puluhan tahun.

Perkara ini boleh mendatangkan risiko apabila kereta lama tidak diselenggara dan kekurangan ciri-ciri keselamatan seperti kenderaan moden.

Malah ada juga kereta lama yang dibiarkan tersadai di tepi jalan sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

Baca Artikel Berkaitan: “Minta Maaf Lah, Ini Je Yang Ada” – Pemandu Rasa Bersalah, Kereta Lama Rosak Di Tengah Jalan [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Dah Lama Pakai Perodua Kancil, Wanita Hadiahkan Ibu Ayah Kereta Baru Buat Ramai Sebak [Video]

Kerajaan Lancar Program Geran Padanan Untuk Ganti Kereta Lama Dengan Model Tempatan Baharu

Semalam (28 Januari), kerajaan telah melancarkan Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama dengan model Proton atau Perodua yang baharu.

Inisiatif itu sebelum ini telah diumumkan di bawah Belanjawan 2026 dengan jumlah geran bernilai RM10 juta yang dijangka memanfaatkan 5,000 pemilik kenderaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata inisiatif tersebut bertujuan bagi melupuskan kereta yang berusia lebih 20 tahun.

“Di bawah program ini, pemilik kenderaan yang layak akan menerima geran padanan sehingga RM2,000 daripada pengilang kenderaan tempatan yang terlibat.

“Ini akan meningkatkan jumlah insentif yang diterima oleh orang ramai dan mengurangkan kos keseluruhan untuk membeli kenderaan baharu,” katanya dipetik MalayMail.

Geran Padanan RM2,000 Diterima Daripada Pengilang Kenderaan Tempatan

Di bawah inisiatif tersebut, pemilik yang layak akan menerima geran RM2,000 daripada kerajaan. Bagi setiap model Proton, geran padanan RM2,000 akan diterima daripada pihak pengilang, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM4,000.

Dua model Proton iaitu Saga baharu dan e.MAS 5 bagaimanapun dikecualikan dan akan menerima insentif RM2,000 sahaja.

Loke menjelaskan bahawa program itu bertujuan untuk mengurangkan jumlah kenderaan lama dan tidak aktif di jalan raya bagi mengurangkan kesesakan, serta meningkatkan keselamatan jalan raya memandangkan kereta lama kekurangan ciri-ciri keselamatan moden.

“Dengan jumlah kenderaan yang semakin meningkat, cabaran kami adalah bagi memastikan kenderaan lama dilupuskan apabila yang baharu masuk ke dalam sistem,” katanya.

Tambah Loke lagi, inisiatif geran padanan itu ditujukan khususnya untuk membantu pemilik kenderaan yang telah lama tidak digunakan atau bernilai rendah.

“Jika ada yang berpendapat kereta mereka mempunyai nilai lebih tinggi di pasaran kenderaan terpakai, tidak mengapa. Tetapi kami bertujuan untuk membantu pemiliki kereta yang telah lama dibiarkan tersadai di tepi jalan,” ujarnya.

Kenderaan Akan Dilupuskan, Elak Digunakan Secara Haram

Bagi memastikan ketelusan, kenderaan yang telah diserahkan menerusi inisiatif itu perlu dibatalkan pendaftarannya menerusi sistem dalam talian e-DeREG oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kenderaan terbabit kemudiannya akan dilupuskan di Pusat Pelupusan Automotif Berlesen (AATF) bertepatan dengan standard alam sekitar dan bagi mengelakkan ia daripada digunakan semula secara haram.

Berdasarkan data oleh JPJ, terdapat sebanyak 19.7 juta kereta yang didaftarkan di dalam negara setakat Disember 2025. Daripada jumlah itu, lebih empat juta tidak mempunyai cukai jalan yang aktif selama tiga tahun ke atas.

Butiran kelayakan dan prosedur permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.